KUALA LUMPUR, 16 November 2026 – Kerajaan digesa agar bertindak adil dan telus dalam menguruskan dasar pelanjutan tempoh pajakan tanah serta penetapan bayaran premium nominal di ibu negara bagi mengelakkan berlakunya ketidaksamarataan pemilikan aset negara.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, menyifatkan tindakan Kementerian Wilayah berkaitan pemberian bayaran nominal untuk melanjutkan tempoh pajakan selama 99 tahun sebagai langkah yang berisiko membuka ‘Pandora Box’ yang lebih besar.
Menurut beliau, isu ini dilihat mempunyai kaitan dengan cadangan terdahulu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengkategorikan Kampung Baru Cina sebagai kampung warisan, yang didakwa bertujuan membolehkan premis-premis yang bakal tamat tempoh pajakan menikmati layanan bayaran nominal.
Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengenai asas bayaran nominal yang diberikan atas faktor kegunaan institusi, Abdul Razak mengingatkan bahawa garis panduan kawalan di Kuala Lumpur sebenarnya tertakluk kepada pengezonan (zoning) di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
Jelas beliau, memandangkan pelan tersebut dinilai semula setiap dua hingga tiga tahun, tidak mustahil status zon institusi itu ditukar kepada zon komersial pada masa hadapan, sekali gus menjadikan alasan berkenaan tidak wajar untuk mewajarkan kadar bayaran nominal.
Dari sudut pandang sebagai seorang perancang bandar, beliau menegaskan bahawa tanah merupakan sumber kerajaan yang terhad dan sebarang keputusan berkaitan pembaharuan pajakan serta penetapan premium akan memberi implikasi besar terhadap sosioekonomi jangka panjang.
Beliau memberi contoh sekiranya kerajaan menetapkan bayaran lanjutan pajakan (extension of lease) pada kadar sebenar sekitar RM46 juta, hasil tersebut mampu menjana pendapatan yang tinggi untuk dimanfaatkan semula kepada rakyat secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil semula tanah-tanah yang telah tamat tempoh pajakan terlebih dahulu sebelum menyewakan atau memajakkannya semula kepada pihak yang ingin terus beroperasi, berbanding terus melanjutkan tempoh pajakan secara automatik selama 99 tahun.
Selain itu, beliau turut menuntut agar setiap keputusan besar berkaitan tanah awam melibatkan penyertaan awam (public participation) serta diterbitkan satu garis panduan khusus berhubung tatacara pemberian premium khas agar tidak menimbulkan persepsi bahawa keistimewaan hanya dinikmati kelompok tertentu.
Menyentuh aspek sejarah, Abdul Razak berkata selepas hampir 69 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan perlu membetulkan ketidakseimbangan struktur ekonomi dan pemilikan tanah bandar yang diwarisi sejak zaman kolonial, termasuk deretan kedai lama di pekan-pekan utama yang bakal tamat tempoh pajakan dalam masa lima hingga 10 tahun lagi.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa langkah ‘menormalisasikan’ pelanjutan premium secara nominal ini merupakan strategi alternatif susulan kegagalan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang mendapat bantahan sebelum ini.
Tegasnya, pembangunan bandar yang adil mesti bersifat inklusif dengan mengambil kira kesejahteraan semua komuniti serta memelihara kepentingan aset negara untuk generasi akan datang.
#BeritaAAC #IsuTanahBandar #Pajakan99Tahun #KualaLumpur2040 #SuaraRakyat