KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik di negara ini digesa untuk menghentikan polemik politik yang berpanjangan selepas tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya kembali memberi tumpuan penuh kepada tugas hakiki dalam membela nasib rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, budaya berpolitik tanpa henti hanya akan merugikan negara serta mengalihkan fokus daripada isu-isu penting seperti pemulihan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Menurut beliau, dalam mana-mana sistem demokrasi dan pilihan raya, adat pertandingan pasti melibatkan pihak yang menang serta pihak yang kalah, dan keputusan tersebut wajar diterima dengan hati terbuka.
Mengulas mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka yang menyaksikan keputusan 3-0 menewaskan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, beliau menyifatkan masih terdapat segelintir pihak yang gagal mengawal emosi akibat kekalahan tersebut.
”Biasalah, dalam mana-mana pilihan raya khususnya, akan ada golongan yang menang dan akan ada golongan yang kalah. Sepatutnya sebagai rakyat dan negara yang maju, selepas habis sahaja pilihan raya, kita perlu fokus kepada menjalankan tanggungjawab serta menunaikan amanah yang telah digalas,” katanya.
Beliau meluahkan rasa kesal apabila melihat trend semasa di mana perdebatan di peringkat tertinggi, termasuk di sidang Parlimen, masih dibayangi sentimen dan emosi pilihan raya yang belum reda.
Datuk Tpr Abdul Razak turut memetik contoh beberapa wakil rakyat pembangkang seperti Ahli Parlimen Jelutong dan Ahli Parlimen Hulu Langat (Sany) yang dilihat masih bersikap terlalu emosional dan ‘panas’ ketika berbahas.
”Saya tengok sekarang ini trend dia masih lagi berpolemik tentang pilihan raya dan politik semata-mata. Sampai bila kita hendak bercerita tentang ekonomi pula? Bila masanya kita mahu bercakap tentang soal sosial dan tanggungjawab kerajaan?” soalnya.
Justeru, beliau menasihati mana-mana pihak yang tewas agar tidak terus terbawa-bawa dengan perasaan kecewa sehingga menjejaskan fokus mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih.
Tegasnya, tempoh berkempen sudah pun berakhir dan kini adalah masa terbaik untuk semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik kembali turun padang berkhidmat kepada masyarakat.
”Saya menyeru kepada semua pemimpin, khususnya daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan, apabila tamat sahaja pilihan raya, kenalah fokus balik buat kerja dan kembali kepada khidmat bakti,” ujarnya lagi.
#BeritaAAC #FokusBuatKerja #HentiBerpolemik #PRNMelaka #ThisIsKepong #PolitikMatang