KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menuntut penjelasan tuntas daripada kerajaan berhubung keputusan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun bagi tapak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Jalan Maharaja Lela dengan kadar premium nominal RM1,000.
Dalam satu kenyataan media hari ini, sekretariat tersebut menyifatkan pengurangan drastik sebanyak 99.98 peratus daripada anggaran nilai asal RM4.67 juta itu sebagai satu tindakan yang mengejutkan dan menimbulkan persoalan serius mengenai ketirisan hasil negara di kawasan segi tiga emas ibu negara.
Menurut kenyataan itu, penjelasan terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang mengaitkan kelulusan tersebut dengan penukaran status tanah kepada ‘institusi’ serta pewartaan bangunan warisan disifatkan tidak menjawab keresahan sebenar rakyat.
Sekretariat berkenaan menegaskan bahawa walaupun pihaknya mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina dalam memelihara KLSCAH sebagai khazanah kebudayaan negara, bangunan itu telah pun diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan sejak 2007 namun nilai penilaian asalnya tetap mencecah RM4.67 juta.
Justeru, sekretariat itu berpandangan alasan teknikal sedemikian tidak wajar dijadikan perisai untuk menutup persoalan tatakelola yang lebih besar, selain mempersoalkan kegagalan kerajaan menjelaskan kos melepas (opportunity cost) yang ditanggung rakyat.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa kehilangan hampir RM4.67 juta hasil premium tanah merupakan angka yang besar dan sepatutnya boleh disalurkan untuk membaiki lif serta kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), membantu golongan B40, atau membiayai projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.
Selain itu, sekretariat berkenaan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membangunkan aset warisan tersebut secara kerjasama strategik sebagai hab pelancongan kebudayaan nasional yang mampu menjana pulangan ekonomi terus kepada rakyat, berbanding menyerahkan pajakan hampir satu abad pada harga RM1,000.
Sehubungan itu, Sekretariat Ahli Parlimen BN mengemukakan lima tuntutan utama kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk dijawab segera, bermula dengan gesaan supaya kementerian mendedahkan pekeliling, minit kelulusan, dan formula pengiraan rasmi di sebalik penyusutan nilai daripada RM4.67 juta kepada RM1,000.
Kedua, kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada aktiviti komersial mengaut untung dijalankan di premis berkenaan, termasuk mengesahkan kewujudan sekatan penuh terhadap kutipan sewaan komersial luar serta klausa clawback bagi menuntut semula nilai pasaran sebenar sekiranya syarat dilanggar.
Ketiga, sekretariat itu menuntut agar dasar pilih kasih dihentikan dengan membuktikan bahawa insentif serta kadar penilaian yang sama turut diberikan secara telus dan seragam kepada pertubuhan kebajikan, rumah ibadat, dan badan warisan kaum lain di Wilayah Persekutuan.
Keempat, pihak kementerian diminta menjelaskan kewajaran meluluskan tempoh maksimum 99 tahun secara tergesa-gesa memandangkan pajakan asal tapak tersebut masih berbaki lapan tahun, di samping memperincikan mekanisme pemantauan terhadap syarat penggunaan dan sewaan.
Kelima, sekretariat berkenaan meminta penjelasan terperinci mengenai maksud kenyataan bahawa tanah tersebut ‘tiada nilai pembangunan komersial’ selepas penukaran status, sama ada ia sekadar merujuk kepada sekatan pembangunan atau turut mencerminkan asas penilaian rasmi tanah itu.
Mengakhiri kenyataan tersebut, Sekretariat Ahli Parlimen BN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal integriti pengurusan aset negara dan menggesa menteri bertanggungjawab membentangkan jawapan secara menyeluruh di Dewan Rakyat.
#BeritaAAC #IsuKLSCAH #Tatakelola #WilayahPersekutuan #HasilNegara