KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – Susulan lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke negara ini baru-baru ini, ketiadaan Masjid Jamek dalam senarai persinggahan lawatan santai pemimpin itu mula menjadi persoalan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan melahirkan rasa terkilan berhubung perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkaitan di Putrajaya.
Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, beliau amat menghargai kunjungan rasmi dua hari Presiden Macron bersama isteri selaku tetamu istimewa negara yang dimulakan dengan sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, diikuti mesyuarat dua hala serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
Bagaimanapun, perhatiannya tertumpu kepada atur cara lawatan santai sekitar Jalan Petaling yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pemimpin Perancis itu mengunjungi Kuil Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman.
”Saya cuba bersangka baik dan mencari gambar atau laporan sekiranya ada lawatan ke masjid, namun di sini saya ingin menzahirkan kesedihan dan tertanya-tanya di mana silapnya apabila Masjid Jamek yang hanya berada dalam lingkungan 100 meter dari kawasan Jalan Petaling dan Bangunan Sultan Abdul Samad tidak tersenarai,” katanya.
Menurut Gulam, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sewajarnya menjadi pertimbangan utama dalam menyusun atur cara rasmi mahupun santai melibatkan tetamu negara.
”Adakah perkara ini terlepas pandang atau disengajakan? Wallahualam,” soalnya dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi fakta bahawa Perancis mempunyai kira-kira enam peratus atau lima juta penduduk beragama Islam daripada keseluruhan 70 juta rakyatnya, iaitu jumlah yang jauh lebih besar berbanding penganut agama Hindu dan Buddha di negara Eropah itu.
Justeru, beliau berpendapat kunjungan Presiden Macron ke Masjid Jamek pastinya mampu memberikan impak simbolik yang amat positif terhadap imej Malaysia di mata dunia.
”Sudah semestinya kehadiran Presiden Macron ke Masjid Jamek akan memberi gambaran yang signifikan mengenai kemajmukan rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman dan sentiasa makmur,” jelasnya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menggesa mana-mana pihak bertanggungjawab di Putrajaya untuk tampil memberikan pencerahan mengenai susunan jadual lawatan tersebut.
”Seseorang atau ada pihak di Putrajaya perlu menjelaskan di mana silapnya atau memang tiada kesilapan. Saya sebagai seorang rakyat beragama Islam hanya ingin tahu,” tegasnya.
#BeritaAAC #EmmanuelMacron #MasjidJamek #IsuSemasa #PolitikMalaysia