KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai calon masa hadapan yang berpotensi besar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-11, menurut pandangan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Tpr Abdul Razak Abdul Rahman.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Abdul Razak menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Ahmad Zahid telah terbukti berjaya membawa parti keluar daripada titik terendah sehingga kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan serta mencetuskan fenomena ‘gelombang biru’ dalam beberapa siri pilihan raya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya keupayaan serta sisi sebenar Timbalan Perdana Menteri itu diketengahkan secara menyeluruh kepada seluruh lapisan masyarakat, merangkumi generasi lama sehinggalah kepada golongan muda dan Gen Z.
Beliau menegaskan bahawa Ahmad Zahid merupakan seorang pemimpin yang sedang dalam proses menuju ke jawatan nombor satu negara (PM in the making) dan berpandangan bahawa lambat atau cepat, beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ke-11.
Mengulas mengenai naratif di alam maya, Abdul Razak turut mencadangkan agar pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil langkah proaktif untuk memperbetulkan persepsi salah yang sering dimainkan oleh pihak tertentu di media sosial terhadap Presiden parti itu.
Jelasnya, ramai pihak di media sosial cuba memberikan gambaran negatif terhadap Ahmad Zahid, sedangkan hakikatnya beliau telah memainkan peranan kritikal memastikan kelangsungan dan kebangkitan semula parti.
Tambah Abdul Razak yang mengaku mengenali tokoh politik itu secara peribadi, setiap keputusan yang diambil oleh Ahmad Zahid bukanlah tindakan yang sembrono atau dibuat secara terburu-buru.
Sebaliknya, beliau mendedahkan bahawa kepimpinan Ahmad Zahid sentiasa didokong oleh golongan ulama yang dekat dan menasihati beliau, selain disokong oleh barisan pemikir (think tank) yang sangat berpengalaman dalam merencanakan hala tuju parti dan negara.
#BeritaAAC #UMNO #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #PM11