KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Belia Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia bakal menganjurkan sebuah program bicarawara khas bertajuk “Mahakavi Bharatiyar – Dahulu, Kini dan Esok” pada Sabtu, 19 Disember 2026 bertempat di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Belia PPP Malaysia, Sathiah Sudakaran, KMW., AMW., program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 6.30 petang itu diadakan bersempena sambutan hari lahir penyair terkenal dari India tersebut yang ke-144 pada tahun ini.
Beliau berkata, objektif utama penganjuran forum sulung di Kuala Lumpur ini adalah untuk memperkenalkan karya serta pemikiran agung Mahakavi Subramaniya Bharatiyar kepada generasi baharu, khususnya golongan belia di negara ini.
Istimewanya, program ini bakal menampilkan tetamu undangan khas dari India, Shri Niranjan Bharathi yang merupakan cicit kepada Mahakavi Subramaniya Bharatiyar, serta penyandang Kursi Thiruvalluvar di Universiti Malaya, Prof. Dr. A. Chellaperumal sebagai penceramah jemputan.
Sesi perbincangan tersebut akan mengupas secara mendalam mengenai puisi-puisi Bharatiyar serta pemikiran beliau berkaitan kesamarataan, pendidikan, kebebasan wanita dan belia, selain merangka cara karya beliau terus relevan untuk generasi akan datang.
Pihak penganjur menyasarkan kehadiran seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, peminat sastera Tamil, serta masyarakat umum tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun fahaman politik.
Program ini merupakan anjuran bersama National Leaders Movement (NLM) dan ditaja bersama oleh NLFCS Koperatif Berhad, serta mendapat sokongan penuh daripada Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan dan barisan Majlis Tertinggi parti.
Bagi orang ramai yang berminat untuk menghadiri bicarawara ini, tiket boleh didapati melalui rakan penjualan tiket rasmi, Great Ticket pada harga RM10 bagi pelajar, RM20 (dewasa), RM50 (VIP), RM250 (VVIP) dan RM500 (MIP).
Dalam pada itu, sempena penganjuran bicarawara berkenaan, Belia PPP Malaysia turut mengadakan Pertandingan Penulisan Esei Bahasa Tamil yang terbuka kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi.
Para pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai, sijil penyertaan serta pingat yang akan disampaikan sendiri oleh Shri Niranjan Bharathi pada majlis tersebut.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bicarawara khas mahupun penyertaan pertandingan esei ini boleh menghubungi urusetia program menerusi talian PPP Careline di 019-221 2131.

#BeritaAAC #MahakaviBharatiyar #BeliaPPPMalaysia #SasteraTamil #WismaMCA