KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi igauan dan ketakutan buat lawan politiknya meskipun beliau telah dijatuhkan.
Menurut beliau, sejak Najib berdepan dengan kejatuhan politik, Pakatan Harapan (PH) dan DAP dilihat tidak pernah berhenti menjadikan nama bekas pemimpin nombor satu negara itu sebagai modal politik utama mereka.
”Perkataan seperti ‘sakau’ dan ‘rasuah’ terus diulang-ulang tanpa henti sebagai modal menyerang beliau. Persoalannya, sampai bila taktik ini mahu digunakan? Rakyat kini semakin sedar dan mampu menilai sendiri situasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Thanenthiran turut mengimbau kembali penghakiman minoriti oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac 2023 yang berpandangan bahawa Najib tidak mendapat pendengaran yang adil (fair hearing) dan sepatutnya dibebaskan serta dilepaskan daripada semua pertuduhan kes tersebut.
Mengulas mengenai perkembangan semasa, beliau mempersoalkan tindakan segelintir pihak, khususnya pemimpin DAP, yang dilihat begitu lantang mempertikaikan hak serta proses pelaksanaan titah pengampunan bersyarat berkaitan tahanan rumah Najib.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan hak dan proses di bawah pengampunan Diraja yang tidak sepatutnya terus dijadikan bahan pertikaian politik.
Tambah Thanenthiran, di sebalik segala tekanan dan serangan yang dilemparkan, Najib kekal tenang dan menyerahkan seluruh perjuangannya kepada proses keadilan serta kebenaran.
Memetik falsafah Tamil yang berbunyi “Dharma Vellum” yang membawa maksud kebenaran pasti menang, beliau yakin keadilan hakiki akan tetap berpihak kepada bekas Presiden UMNO itu.
”Undang-undang manusia mungkin mempunyai kelemahannya, tetapi ‘Dharma’ tidak pernah buta. Kebenaran mungkin mengambil masa untuk dibuktikan, namun pada akhirnya ia pasti akan terserlah,” ujarnya.
Mengakhiri kenyataannya, Thanenthiran menegaskan bahawa pihak lawan boleh terus menghina dan cuba menjatuhkan Najib, namun mereka tidak akan mampu membungkamkan kebenaran yang akan terjawab dengan peredaran masa.
#BeritaAAC #DharmaPastiMenang #NajibRazak #MakkalSakti #PolitikMalaysia