Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki jumaat lalu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW), Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara berkenaan.
Menurut Ahmad Zahid, watikah pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu telah diserahkan kepada Dr Asyraf Wajdi pada Jumaat lalu di kementeriannya.
“Bukan desas-desus lagi, beliau telah dilantik dan saya telah watikahkan dia pada hari Jumaat yang lalu.
“Penyerahan dibuat di KKDW kerana MARA di bawah kementerian itu,” katanya ketika ditanya mengenai khabar angin pelantikan Dr Asyraf sebagai Pengerusi MARA.
Beliau berkata demikian ketika sidang media dalam lawatan kerja di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), di sini, hari ini.
Semalam, Dr Asyraf telah memuat naik 14 halaman resume milik beliau di Facebook dengan hantaran tawaran mencari kerja.
Dr Asyraf juga tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada Pemilihan UMNO yang berlangsung pada Sabtu 11 Mac 2023.