editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2023 – Lima pengendali rangkaian mudah alih (Mobile Network Operators atau MNO) – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL), pada hari ini memeterai perjanjian langganan saham (Share Subscription Agreements atau SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB). Pemeteraian SSA ini telah berlangsung di TRX Exchange 106 dengan disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil.

Pemeteraian SSA ini, tertakluk kepada penilaian wajar (due diligence), akan membolehkan pihak MNO untuk memiliki 70% pegangan saham dalam DNB secara kolektif, atau 14% pegangan saham secara individu. Kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memiliki 30% baki pegangan ekuiti dalam DNB dan pegangan Saham Khas. Setiap MNO yang memeterai perjanjian SSA ini akan menyuntik RM 233 juta ke dalam DNB, yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

Pemeteraian SSA ini merupakan suatu pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas (Task Force) Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia. Pasukan Petugas ini dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), DNB serta pihak MNO. Pasukan Petugas tersebut ditubuhkan pada 9 Mei 2023 dengan objektif utama untuk memastikan kelancaran peralihan daripada model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network atau SWN) kepada model Dwirangkaian.

Setakat penghujung Oktober 2023, langganan perkhidmatan 5G di Malaysia adalah berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus. Bagi meningkatkan kadar penerimagunaan 5G dalam kalangan pengguna, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah bermula Ogos 2023.

Leave a Reply