editor@aatvnews.com

YBrs. Encik Yong Eng Kwang, Pengarah Operasi Cawangan 99 Speed Mart (dua dari kanan) menyerahkan Kit Makanan Bencana kepada YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Makanan Bencana Oleh 99 Speed Mart Sdn. Bhd. Kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA, 1 DISEMBER 2023 – Syarikat rangkaian kedai serbaneka terkemuka di
Malaysia iaitu 99 Speed Mart Sdn. Bhd. hari ini berbesar hati untuk menyumbangkan Kit
Makanan Bencana berupa barangan keperluan makanan bernilai RM400,000.00 untuk diagihkan kepada pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya,
sumbangan Kit Makanan Bencana tersebut telah disampaikan oleh YBrs. Encik Yong Eng
Kwang, Pengarah Operasi Cawangan 99 Speed Mart kepada YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Inisiatif penyampaian sumbangan ini adalah susulan daripada situasi semasa negara yang kini telah memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) dan mengakibatkan bencana banjir sekaligus menjadikan ia satu langkah murni bagi membantu meringankan bebas tugas yang ditanggung oleh anggota penyelamat dan juga komuniti yang terjejas dalam situasi bencana.

Sumbangan ini juga merupakan antara aktiviti tanggungjawab korporat sosial syarikat 99 Speed Mart Sdn. Bhd. yang memfokuskan kepada kebajikan, perlindungan persekitaran dan juga aktiviti kemasyarakatan.

99 Speed Mart merupakan rangkaian kedai serbaneka tempatan yang diasaskan pada
tahun 1987 oleh Encik Lee Thiam Wah di Klang, Selangor. Sejak 36 tahun penubuhannya, 99 Speed Mart telah berkembang daripada sebuah pasar mini tunggal kepada rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia dan kini mempunyai lebih 2,300 cawangan di seluruh negara.

Dalam usaha untuk memperkasakan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan serta pembudayaan amalan keselamatan kebakaran di premis milik 99 Speed Mart, pihak syarikat juga telah menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela 99 Speed Mart pertama di ibu pejabat mereka yang terletak di Daerah Klang, Selangor.

Pasukan Bomba Sukarela ini memiliki keanggotaan seramai 150 orang sukarelawan dan dipengerusikan sendiri oleh Encik Yong Eng Kwang, Pengarah Operasi Cawangan 99
Speed Mart.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menghargai sumbangan Kit Makanan Bencana yang disumbangkan pada hari ini dan sumbangan tersebut akan diagihkan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri-Negeri.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berharap kerjasama erat ini akan terus
dikekalkan pada masa akan datang.

Leave a Reply