editor@aatvnews.com

PUTRAJAYA, 1 Disember 2023 – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, telah menjadi individu pertama yang mendaftar untuk Identiti Digital Nasional
atau Digital ID. Inisiatif ini merupakan langkah maju dalam pengesahan identiti digital
yang akan digunakan oleh sektor awam dan swasta untuk transaksi dalam talian,
dengan tujuan mengurangkan penipuan identiti.

Pelaksanaan MyDigital ID adalah satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan
landskap digital negara. MyDigital ID dibangunkan untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan keselesaan pengguna di dalam ekosistem digital. Dengan penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini, MyDigital ID diwujudkan dengan sepenuhnya oleh bakat tempatan dan mematuhi piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus).

MyDigital ID direka khas untuk memperkukuhkan kepercayaan dan memberikan keselesaan kepada orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian. Melalui pengesahan diri yang tepat, transaksi atas talian yang selamat, dan
kemudahan log masuk tunggal, MyDigital ID mampu mengurangkan risiko penipuan
dan memudahkan urusan harian berkaitan perkhidmatan dalam talian.

MIMOS ingin menegaskan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan data biometrik
pengguna seperti cap jari, iris/mata, atau pengecaman wajah. Justeru, Ia adalah satu
langkah maju bagi memastikan keselesaan dalam menggunakan perkhidmatan dalam
talian tanpa mengorbankan privasi.

MyDigital ID merupakan inisiatif yang akan menyumbang kepada penyampaian
perkhidmatan awam yang lebih efisien di Malaysia, seperti pengagihan subsidi
bersasar dan peningkatan akses ke sistem perubatan MADANI. Melalui identifikasi
digital, transaksi seperti pembahagian bantuan menjadi lebih mudah dan telus,
memastikan hanya individu yang layak dapat menerima manfaat. Ini seterusnya
menyokong pembangunan negara ke arah penggunaan teknologi yang inklusif dan
berintegriti.

Kerajaan Digital yang berasaskan data merupakan nadi utama untuk sebuah
pentadbiran yang lebih cekap dan efisien. Pada masa yang sama, kerajaan turut
menitikberatkan soal keselamatan digital bagi menjamin perlindungan data dan privasi
individu. Sehubungan itu, MIMOS berharap program MyDigital ID akan menerima
sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat, seterusnya menyokong usaha
kerajaan mereformasikan tadbir urus demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Leave a Reply