editor@aatvnews.com
KUCHING, 3 DISEMBER – YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) hari ini telah bersama-sama menyertai pelbagai program sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan 2023 yang diadakan di Kuching, Sarawak.
Pelbagai program dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Hari OKU pada kali ini antaranya Program SEGULAI SEJALAI OKU bertempat di Padang Merdeka, Kuching Sarawak dengan pengisian seperti Fun Walk, Fun Games dan pameran dari pelbagai agensi kerajaan.
Pada tahun ini KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan Sambutan Hari OKU dengan tema “Membangun OKU MADANI”.
Ini selaras dengan tema yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu United in action to rescue and achieve the SDGs for, with and by Persons with Disabilities.
Justeru, bagi mengadaptasi tema ini kepada tema yang bersesuaian dengan budaya masyarakat kita, “Membangun OKU MADANI” telah dipilih sebagai tema sambutan.
Kerajaan melalui KPWKM telah menyediakan beberapa inisiatif bantuan dan program bagi membantu meningkatkan kualiti hidup OKU.
Antara inisiatif membangunkan OKU MADANI yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti, Kenaikan Elaun Pelatih di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam Peruntukan Belanjawan 2024, daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan yang akan memberi manfaat kepada sejumlah 19,002 OKU yang sedang menerima perkhidmatan di 566 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negara sehingga Oktober 2023.
KPWKM juga sedang melaksanakan Pindaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685], melalui semakan terhadap Akta ini yang telah bermula sejak awal tahun 2022 dan sehingga 31 Oktober 2023, KPWKM telah membuat semakan Akta ini bersama golongan profesional termasuk ahli akademik, perundangan, wakil Persatuan OKU dan OKU sendiri berdasarkan pendekatan multi disiplin.
Tujuan pindaan Akta ini adalah untuk memberi ruang dalam penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada OKU.
Selain itu, KPWKM melalui JKM giat memperkasa Kempen Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU), sehingga 31 Oktober 2023 terdapat 681,074 OKU berdaftar di bawah tujuh (7) kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).
KPWKM juga telah melaksanakan Program Pendigitalan Kad OKU yang mana sehingga 1 Disember sebanyak 47 667 Kad OKU Berdaftar telah berjaya dicetak dengan QR Code digital.
Pendigitalan Kad OKU ini dapat meningkatkan kadar pendaftaran OKU di seluruh negara dengan capaian mudah dan akses kepada pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada OKU berdaftar.
KPWKM juga merancang untuk membangunkan Modul Intervensi Awal Kanak-Kanak OKU yang melibatkan semua kategori OKU, sebagai panduan kepada pengusaha dan pengasuh di TASKA OKU.
Seminar Kesedaran Autisme juga telah diadakan di Negeri Sarawak 2023 bagi mempromosikan disiplin kesedaran sebagai alternatif dan kaedah dalam penyelesaian serta pengesanan awal autisme, meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan perkongsian pengalaman di kalangan ibu bapa bersama pakar-pakar bidang berkenaan isu-isu yang berkaitan autisme; dan menyediakan platform kepada ibu bapa, penjaga dan masyarakat mendapatkan maklumat tepat tentang autisme daripada pakar-pakar berkaitan.
Adalah menjadi harapan KPWKM untuk memperkasakan kepimpinan dan penyertaan OKU secara bersepadu di bawah MALAYSIA MADANI dalam usaha pembangunan negara.
Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Jabatan.