editor@aatvnews.com

KUCHING, 3 DISEMBER – YB Menteri Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) hari ini telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan 2023 bertempat di Sarawak Chamber Hotel Riverside, Majestic Kuching, Sarawak.

Bertemakan, “Membangun OKU MADANI” sambutan Hari OKU yang disambut bermula pada tahun 1994 ini, adalah bertujuan untuk membuktikan bahawa komuniti OKU di negara ini juga tidak ketinggalan daripada mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan.

Sambutan ini juga merupakan suatu usaha untuk menterjemahkan tindakan oleh semua pihak yang terlibat dalam membangunkan komuniti OKU di negara ini dan ianya menepati keperluan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Teras Strategik 9 : Advokasi – iaitu meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap komuniti OKU.

Sambutan pada malam ini turut menyaksikan penyampaian tujuh (7) anugerah, antaranya ialah Anugerah Khas OKU, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU, Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU (Swasta), Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang, Anugerah Khas Job Coach, Anugerah Pekerja OKU Madani dan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta).

Pada tahun ini, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU dianugerahkan kepada Encik Jamal Alam Shah bin Mohamad dan isteri Puan Noor Azizh binti Piee dari Kuching Sarawak yang memiliki tujuh (7) orang cahaya mata dan dua (2) daripadanya OKU Cerebral Palsy berusia 16 dan 13 tahun.

Anugerah ini bertujuan bagi menghargai jasa dan pengorbanan ibu/bapa/penjaga dalam menjaga dan memelihara anak OKU seterusnya dapat menyumbang kepada pemerkasaan OKU di Malaysia.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menghargai penglibatan majikan swasta melalui penganugerahan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta) yang dianugerahkan kepada Uniqlo Malaysia Sdn. Bhd, Anak Kita Enterprise, Padini Holdings Berhad, Percetakan Sanwa Industries Sdn Bhd dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd McDonald’s Melaka Mall.

Anugerah ini, sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada majikan yang memberi sokongan padu dalam menggajikan OKU dengan menggunakan pendekatan perkhidmatan Job Coach.

Bagi penerima Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU (Swasta) pada tahun ini, dianugerahkan kepada Sabah Cheshire Home And Services Care Centre, Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang pula diterima oleh, Persatuan Autisme Sibu, Sarawak, Anugerah Khas Job Coach dianugerahkan kepada Encik Che Mohd Asri Bin Che Ghani dari negeri Kelantan.

Anugerah Pekerja OKU Madani dianugerahkan kepada Puan Nur Hidayah bin Radzli dari negeri Perlis dan Anugerah Khas OKU dianugerahkan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sharizal bin Abdul Aziz.

Adalah menjadi harapan KPWKM agar golongan OKU sentiasa diberi sokongan penuh untuk bersama-sama dalam membangunkan negara, disamping menggalakkan rakyat Malaysia turut serta menyumbang kepada kesejahteraan OKU di Malaysia. Selamat menyambut Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan Tahun 2023, dengan tema Membangun OKU MADANI.

Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM dan pegawai –pegawai kanan Kementerian dan Jabatan.

Leave a Reply