Kerangka strategik Kementerian Komunikasi tahun 2024-2025 dibangunkan bersama enam teras baharu dengan Visi: Masyarakat MADANI Berinfomasi, Berhubung, Berdaya Maju dan Kreatif.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, visi itu akan direalisasikan dan didukung oleh dua misi utama kementerian.
“Antara teras kerangka strategik kementerian termasuklah, memantapkan infrastruktur telekomunikasi dan kebolehcapaian yang berkualiti, memperkukuh dasar dan kawal selia ekosistem telekomunikasi, pos dan kurier negara yang efektif, serta memperkasa perkhidmatan penyiaran yang bekualiti dan dinamik,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini.
Selari usaha memperkukuh dasar dan kawal selia ekosistem telekomunikasi, Fahmi turut memaklumkan, keperluan untuk mewujudkan akta baharu akan diteliti.
“Kita lihat ada beberapa aspek yang boleh dikawal selia oleh akta-akta yang sedia ada. Tetapi memandangkan sekarang banyak negara lain telah mewujudkan akta khusus, sebagai contoh kecerdasan buatan (AI), khusus untuk keselamatan kanak-kanak dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan syarikat Google, pagi ini untuk melihat kepada aspek dari segi keselamatan dalam talian.
Dalam masa terdekat, Fahmi berkata beliau juga akan bertemu dengan pihak penyedia platform digital seperti Meta, TikTok dan Telegram.
– Berita RTM –