SUBANG JAYA, 18 November 2026 – Pertubuhan Rentak, Irama, Seni dan Ekspresi (R.I.S.E.) menjalinkan kerjasama strategik bersama Dorsett Grand Subang bagi memperkasakan bakat autistik dan individu neurodiversiti melalui bidang seni, muzik, persembahan serta pembangunan bakat kreatif.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan R.I.S.E. untuk melangkaui tahap kesedaran semata-mata, sebaliknya membina platform bermakna agar golongan ini dapat mengasah bakat, meraih pengiktirafan komuniti dan menghubungkan mereka dengan peluang sebenar.
Teras utama kerjasama ini adalah ArtRISE @ Dorsett, sebuah program pameran dan jualan karya seni asli oleh artis neurodiversiti yang akan berlangsung selama setahun penuh di Dorsett Grand Subang.

Berbeza dengan pameran konvensional yang bersifat sementara, program ini kekal aktif sepanjang tahun dengan karya seni baharu akan sentiasa dikemas kini dan ditambah setiap kali ada lukisan yang berjaya dijual.
Presiden R.I.S.E., Datin Hasnah Abdul Rahman berkata, kerjasama ini mencerminkan prinsip utama pertubuhan itu bahawa keterangkuman (inklusi) mesti diterjemahkan melalui peluang menyertai, menyumbang dan menjana pendapatan secara mampan.
”Seni dan kreativiti memberi titik permulaan yang hebat kerana bakat tidak memerlukan sebarang label, sebaliknya ia hanya memerlukan peluang untuk dilihat, dipupuk dan diberikan platform,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Pengerusi Dorsett Hospitality International Malaysia, Datin Jasmine Abdullah Heng menyifatkan industri perhotelan berperanan besar sebagai ruang pertemuan masyarakat pelbagai latar belakang untuk menyokong komuniti setempat.
Pengurus Besar Dorsett Grand Subang, Nigel Boey turut menzahirkan keterujaan pihaknya dalam menyediakan ruang hospitaliti harian yang meraikan kreativiti serta menggalakkan interaksi bermakna antara tetamu hotel dan artis istimewa ini.
Selain seni visual, kerjasama ini turut diperluaskan menerusi ArtRISE @ Dorsett Live!, iaitu pentas persembahan muzik dan ekspresi kreatif yang menampilkan bakat daripada program R.I.S.E. serta Unveiling Uniqueness.
Timbalan Presiden R.I.S.E., Edwin Nathaniel menegaskan bahawa peluang membuat persembahan bukan sekadar meletakkan mereka di atas pentas, tetapi membina keyakinan diri dan kesinambungan kerjaya agar perjalanan seni mereka tidak terhenti selepas persembahan tamat.
Pada masa sama, kedua-dua pihak turut memperkenalkan R.I.S.E. Champions 1.0, sebuah inisiatif pengiktirafan setiap suku tahun yang meraikan keberanian, keazaman dan perjalanan peribadi individu neurodiversiti tanpa menjadikannya satu pertandingan biasa.
Secara keseluruhan, kerjasama ini menjadi sebahagian daripada ekosistem jangka panjang R.I.S.E. bersama sektor korporat, sekolah dan agensi kerajaan dalam membuka laluan keusahawanan serta pekerjaan buat komuniti tersebut.
Kolaborasi bermakna ini akan dimulakan secara rasmi menerusi majlis pelancaran ArtRISE @ Dorsett yang dijadualkan berlangsung di Dorsett Grand Subang pada Rabu, 25 November 2026.
#BeritaAAC #ArtRISEatDorsett #BakatTanpaLabel #InklusivitiNeurodiversiti #RISEMalaysia