PUTRAJAYA, 5 Mac – Sebuah pesawat helikopter AW 139 no pendaftaran pesawat M72-01 melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam lebih kurang 9:55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10:15 pagi tadi.

Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam bin Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol bin Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat bin Hashim.

Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS.

Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini. Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi.

Leave a Reply