Pembukaan cawangan baru KFM di Cybersouth dirasmikan oleh Menteri KPDN

Dengkil, 6 Mac 2024 – Setelah beberapa tahun berkecimpung di industri barangan runcit, Kampung Fresh Market (KFM) mengeluarkan produk mereka tersendiri iaitu pek makanan Ready-To-Eat (RTE). Dilancarkan di majlis perasmian cawangan terbaharu mereka di Cybersouth, pek makanan tersebut mula berada di pasaran sejak Februari lalu.

Turut dihadiri oleh pelbagai agensi-agensi kerajaan serta persatuan, majlis tersebut diadakan untuk merasmikan cawangan baru kedai KFM di Cybersouth setelah mendapat kejayaan di cawangan mereka di Setia Alam, Eco Majestic Semenyih dan Denai Alam.

Kampung Fresh Market Sdn Bhd atau KFM ditubuhkan pada April 2021 di mana idea untuk membuka kedai runcit ini adalah untuk mendapatkan produk-produk yang terbaik dari hasil tempatan Malaysia termasuk makanan laut, ikan, daging, ayam, sayur-sayuran, dan buah-buahan untuk dijual secara langsung dari Kampung ke kawasan Bandar.

Mengikut jejak langkah syarikat barangan runcit gergasi lokal, Kampung Fresh Market turut mengeluarkan produk RTE mereka tersendiri yang berasaskan makanan kampung. Antara variasi makanan RTE yang boleh didapati adalah Nasi Set Daging Salai Masak Lemak, Nasi Set Daging Asam Pedas, Nasi Set Daging Rendang Cili Api Daging Rendang Hitam, Sambal Bawang Bilis dan Sambal Hijau Petai Bilis di mana set diberikan bersama sambal gesek.

Kata pengasas Kampung Fresh Market, Datin Nurfatin Binti Mufti, dalam ucapannya, “Kami ingin melebarkan sayap kami dan mengeksport produk RTE ini ke luar negara di mana negara sasaran kami termasuk United Kingdom, Australia, Korea, serta banyak lagi negara dimana terdapat ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk menetap secara tetap di sana. Selain itu, jika dipasarkan di luar negara, bukan sahaja rakyat Malaysia yang akan menikmati produk RTE ini, malah, penduduk tempatan di negara-negara itu juga dapat menikmati makanan Malaysia yang asli dan disahkan halal. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak, kami juga memenuhi permintaan yang tinggi bagi makanan halal di negara luar.”

YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) yang turut hadir untuk merasmikan majlis tersebut menambah, “Inisiatif dalam mempelbagaikan barangan jualan runcit KFM harus dipuji dan diambil contoh oleh rakan rakan dalam industri peruncitan, terutamanya dari segi penyediaan makanan RTE.”

Orang ramai boleh mendapatkan produk RTE KFM di cawangan-cawangan Kampung Fresh Market. Selain itu, produk RTE tersebut juga diedarkan ke rangkaian kedai barangan runcit di seluruh Malaysia. Sila layari kampungfreshmarket.com.my atau media sosial Kampung Fresh Market untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply