KUALA LUMPUR, 7 September 2024 – Kenyataan terbaru Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok, mengenai kewajipan persijilan halal bagi premis dan restoran yang tidak menjual alkohol dan daging babi, telah mencetuskan kritikan pelbagai pihak.

YB Teresa Kok menyifatkan syarat ini sebagai membebankan peniaga dan tidak mencerminkan semangat kebangsaan yang majmuk, sekali gus memalukan negara.

Namun, kenyataan ini mendapat reaksi keras daripada pemimpin UMNO, termasuk Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, yang menolak pandangan Teresa Kok. Beliau menegaskan bahawa isu halal merupakan perkara asas bagi umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Gulam mengingatkan bahawa tuntutan halal bukan hanya berkisar soal budaya atau tradisi, tetapi adalah kewajiban agama yang sangat penting, seperti yang disebut dalam Surah Al-Nahl Ayat 114 dalam Al-Quran.

“YB Teresa Kok seharusnya memahami bahawa persijilan halal adalah tuntutan agama yang wajib bagi umat Islam. Ia bukan hanya soal ritual tetapi juga bagi memastikan keberkatan dalam kehidupan seharian. Mengaitkan isu ini dengan alasan membebankan atau memalukan negara menunjukkan kurangnya kefahaman beliau terhadap kepentingan halal dalam masyarakat Islam di Malaysia,” ujar Gulam dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut memuji usaha YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang berusaha memajukan industri halal di peringkat antarabangsa dan domestik.

Gulam menjelaskan bahawa kerajaan telah berjaya mempercepatkan proses persijilan halal kepada 21 hari bekerja, yang dilihat sebagai satu pencapaian positif.

Dalam perkembangan lain, Teresa Kok sebelum ini turut mendapat perhatian selepas beliau membantah pembangunan projek perumahan mampu milik Residensi Madani di Taman Desa, yang diusulkan untuk golongan B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan.

Tindakan tersebut turut mendapat teguran daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika majlis pecah tanah projek berkenaan berlangsung.

Gulam turut menggesa kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan terhadap Teresa Kok, memandangkan kenyataan beliau boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.

“Isu halal ini sangat sensitif bagi umat Islam, dan tindakan yang tidak bertanggungjawab dalam isu seperti ini boleh menimbulkan ketegangan. Saya berharap DAP mengambil tindakan displin yang sewajarnya terhadap beliau,” tambah Gulam.

Teresa Kok, yang pernah menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi, juga dikenang kerana kenyataannya sebelum ini yang mencadangkan rakyat Malaysia meminum sesudu minyak sawit sehari bagi membantu industri sawit negara, satu saranan yang telah menjadi bahan bualan politik sehingga kini.

Dalam perkembangan terkini, belum ada respons rasmi daripada Teresa Kok berhubung kenyataan-kenyataan ini.

Leave a Reply