Taiping, 6 September 2024 – Seramai 31 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping dilaporkan mengalami keracunan makanan pada 30 Ogos lalu, dengan sebahagian pelajar terpaksa dikejarkan ke hospital. Insiden ini mendorong Pengerusi MARA untuk melakukan tinjauan mengejut ke Dewan Selera MRSM Taiping bagi menilai keadaan dapur dan penyediaan makanan di maktab tersebut.

Dalam lawatan tersebut, Pengerusi MARA mendapati beberapa ketidakpatuhan kepada piawaian yang ditetapkan oleh MARA. Antaranya termasuk kekurangan tenaga kerja, penyediaan makanan yang tidak mengikut menu harian yang telah ditetapkan, serta tahap kebersihan dapur yang didapati tidak memuaskan.

“Ini bukan perkara kecil. Saya amat kecewa dengan keadaan ini, terutama apabila pelajar-pelajar memaklumkan bahawa kejadian keracunan makanan bukan kali pertama berlaku. Tahun lalu, lebih 50 pelajar terkesan dengan insiden yang sama, dan mereka turut menunjukkan gambar-gambar makanan yang mengandungi ulat dan serangga,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau memberi tempoh sehingga esok kepada pengusaha dewan makan tersebut untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan atau tindakan tegas akan diambil. Pengerusi MARA turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam soal kesihatan dan keselamatan pelajar.

“Kesihatan, keselesaan, dan kebajikan anak-anak MRSM adalah keutamaan kami. Selagi saya memegang amanah ini, saya akan memastikan bahawa setiap pihak mengambil serius hal ini demi memastikan kebajikan pelajar terjaga,” tegasnya lagi.

Kes keracunan makanan di kalangan pelajar MRSM Taiping ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian berulang.

Pihak pengusaha dewan makan dan pengurusan MRSM masih belum memberikan kenyataan lanjut mengenai insiden tersebut.

Leave a Reply