KUALA LUMPUR – Selepas dilantik sebagai Pro-Canselor Akademi Persilatan Sedunia (APS), Datuk Zainal Abidin Sakom beriltizam untuk memberi pengiktirafan yang terbaik kepada pesilat-pesilat dalam negara.
Menurut Zainal, dijangka 500 pesilat akan menerima anugerah dalam konvo APS pada tahun hadapan.
“APS telah isytihar pesilat kita sebagai profesor persilatan sedunia.
“Di Malaysia jika P Ramlee diberi Tan Sri selepas meninggal tetapi orang silat tak ada. Jadi kita nak mereka graduasi dalam dalam silat ikut tahap mereka,” katanya kepada AATV News.
Mengulas lanjut, Zainal yang juga Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBM) berkata beliau mahu memartabatkan semula pesilat yang dilihat sebagai individu yang terbilang dan cemerlang.
Bagaimanapun, seni silat dilihat tapaknya sudah tiada.
“Waktu negara kelam kabut dulu dan musuh nak datang, pesilat yang pergi.
“Setelah dapat tubuhkan kerajaan dan menang perang, mereka hilang tapaknya,” katanya.
Sementara itu, Zainal turut mempersoalkan kenapa pertahanan diri persilatan tak disebut kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia
“Kenapa tidak untuk mewujudkan satu penghargaan atau pengiktirafan kepada kemahiran silat.
“Kena ada satu badan pendidikan khusus bagi menangani hal macam ini,” katanya.
Zainal juga berharap pesilat-pesilat akan bertambah semangat dengan pengiktirafan yang akan diberikan oleh APS.
“Kita nak sumbangan mereka diiktiraf oleh masyarakat dan negara.
“Kita fokus beri sijil, diploma dan ijazah berdasarkan dasar point pesilat itu mengajar serta berapa banyak gelanggang yang ada,” katanya.