
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar menyambut baik desas-desus kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX, berkemungkinan bertanding di Parlimen Batu pada pilihan raya akan datang.
Menurut Gulam, sekiranya khabar angin itu benar, beliau mengalu-alukan kehadiran Anwar ke kawasan P115 Parlimen Batu dan menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang menarik dalam landskap politik kawasan berkenaan.
“Saya menyambut dan mengucapkan selamat datang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekiranya beliau betul-betul berhajat untuk bertanding di P115 Parlimen Batu.
“Saya agak gembira dan teruja bila Parlimen Batu ini diintai oleh figura-figura politik daripada PKR,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung spekulasi tersebut.
Gulam berkata, sebelum ini nama beberapa tokoh PKR turut dikaitkan dengan Parlimen Batu, termasuk Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri R. Ramanan dan terbaru, Anwar Ibrahim sendiri.
Katanya, perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada Batu kini dilihat sebagai antara kerusi paling selamat oleh PKR, khususnya bagi memastikan tokoh-tokoh utama parti itu mempunyai laluan lebih terjamin dalam pilihan raya akan datang.
“Wah, Timbalan Presiden, kemudian Naib Presiden PKR, dan baru-baru ini desas-desus pula katakan PMX, Presiden PKR pula nak datang dekat Parlimen Batu.
“Rupanya bila kita kaji-kaji, Parlimen Batu ini telah dikategorikan sebagai kerusi yang paling selamat dalam banyak-banyak kerusi yang PKR miliki,” katanya.
Mengulas lanjut, Gulam mendakwa percaturan politik PKR kini berkisar kepada usaha mencari kawasan selamat bagi beberapa tokoh utama parti, termasuk Anwar, Nurul Izzah, Ramanan serta Tengku Zafrul.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Parlimen Tambun yang kini disandang Anwar masih dianggap selamat, memandangkan majoriti kemenangan pada PRU lalu didakwa tidak begitu besar.
Dalam masa sama, Gulam turut mempersoalkan sama ada Anwar akan kembali ke Permatang Pauh, berpindah ke Bandar Tun Razak atau memilih Batu sebagai medan baharu sekiranya benar wujud perancangan sedemikian.
Menurutnya, PKR kini seolah-olah terperangkap dengan percaturan politik sendiri apabila perlu menyusun kedudukan beberapa pemimpin utama dalam kawasan yang dianggap selamat.
“Sekarang ini mereka tengah buat congak politik, matematik politik, di mana mereka nak letakkan Nurul Izzah dan juga Anwar Ibrahim, termasuk Ramanan dan Tengku Zafrul untuk bertanding di kawasan-kawasan selamat,” katanya.
Bagaimanapun, Gulam berkata, sekiranya benar Perdana Menteri turun bertanding di Batu, ia mungkin membawa limpahan perhatian dan pembangunan kepada kawasan tersebut.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa politik bukan sekadar kempen pilihan raya singkat, sebaliknya merupakan perjuangan jangka panjang yang memerlukan kehadiran berterusan bersama rakyat.
“Politik ini bukan hanya sprinter 100 meter, tetapi ia adalah marathon. Kadang-kadang datang untuk kempen pilihan raya, selepas itu berpindah,” katanya.
Beliau turut menyentuh sejarah perpindahan kawasan beberapa pemimpin PKR sebelum ini, termasuk Anwar, Nurul Izzah dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pernah bertanding di beberapa kawasan berbeza.
Di akhir kenyataannya, Gulam menegaskan bahawa sekiranya Barisan Nasional membuat keputusan untuk bertanding secara solo di Parlimen Batu, beliau bersedia berdepan sesiapa sahaja calon yang diletakkan di kawasan tersebut.
“Kalau Barisan Nasional menyatakan bertanding solo, walaupun PMX ke, Ramanan ke, Nurul Izzah ke, kita lawan.
“Lawan tetap lawan. Kita anggap diri kita sebagai underdog lawan dengan top dog,” tegasnya.
#BeritaAAC #ParlimenBatu #GulamMuszaffar #PMX #PolitikMalaysia