KUALA LUMPUR, 12 September 2024 – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) MHO hari ini menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung satu kes penipuan skim pelaburan emas yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1.63 juta.

Aduan tersebut dibuat setelah MHO menerima 13 aduan daripada mangsa yang mendakwa mereka diperdaya oleh dua individu yang menawarkan program pelaburan emas dengan janji pulangan keuntungan besar.

Menurut Setiausaha Agung MHO, para pengadu mendakwa bahawa mereka diminta untuk menyerahkan wang pelaburan kepada beberapa syarikat yang dikendalikan oleh individu-individu terbabit. Syarikat-syarikat tersebut bagaimanapun disyaki tidak memiliki lesen untuk menerima deposit dari orang awam, apatah lagi menjalankan skim pelaburan emas seperti yang didakwa.

“Mangsa-mangsa skim ini telah dijanjikan pulangan dividen yang sangat lumayan. Namun, setelah menyertai program tersebut, mereka mula curiga apabila pulangan yang diterima mereka hanyalah wang modal sendiri. Hasil semakan di laman rasmi Bank Negara Malaysia mendapati syarikat-syarikat yang terlibat tidak disenaraikan sebagai entiti yang diberi kelulusan untuk menerima deposit atau menjalankan skim pelaburan,” kata wakil MHO.

Tambahnya lagi, tiada dokumen atau lesen rasmi daripada BNM diberikan kepada para pelabur bagi membuktikan kesahihan syarikat terbabit. Ini menimbulkan keraguan dalam kalangan mangsa bahawa skim pelaburan emas tersebut sebenarnya tidak wujud, dan ia hanyalah helah untuk mendapatkan wang mereka secara haram.

Pihak MHO mengesyaki bahawa modus operandi individu terbabit adalah dengan menggunakan syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengaburi mangsa, namun hakikatnya ia merupakan penipuan.

Sehubungan itu, para pengadu memohon agar Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan mengambil tindakan terhadap individu-individu serta syarikat yang terlibat. Mereka turut berharap agar pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sidang media yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk memberi tekanan agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa. Para pengadu menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada BNM bagi melengkapkan siasatan dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Penyerahan aduan kepada Bank Negara Malaysia merupakan langkah penting dalam usaha menuntut keadilan bagi mangsa-mangsa penipuan ini, yang rata-rata mengalami kerugian besar dan kekecewaan akibat janji manis yang tidak ditepati.

MHO berharap kes ini menjadi pengajaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum melabur dalam skim yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa bukti yang kukuh.

Leave a Reply