KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni ZahariĀ akui secara peribadi amat kecewa dan sedih apabila Barisan Nasional (BN) tidak memilih calon Wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.
Beliau berkata ini kerana Wanita UMNO terlalu berharap sayap parti itu akan meneruskan legasi Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Pada sesi pengumuman calon saya berada di Kluang di tempat pengumuman calon.
“Sudah tentu kita menantikan pengumuman tersebut dan kita mengharapkan calon dinamakan pada hari itu adalah Wanita tetapi ternyata harapan kami meleset apabila ketua pemuda Kluang diumumkan sebagai calon.
“Kalau saya katakan bahawa kita terima bulat-bulat saya rasa bohong. Hakikat sebenarnya saya secara peribadi merasa amat kecewa. Kita nak marah sudah habis dengan sekarang Wanita amat terpinggir.
“Cuma rasa amat sedih kerana kerusi tersebut kerusi Wanita yang apa dibuat oleh arwah dulu khidmatnya terbaik kepada Wanita,” katanya kepada AATV News.
Pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dipilih sebagai calon BN bagi PRK Mahkota 28 September ini.
Bagaimanapun, Rosni berkata sebagai orang parti, beliau akur keputusan dibuat BN dan tetap akan bekerja kuat untuk menenangkan Syed Hussien.
Beliau berkata akan berkampung di Kluang bermula hari ini hingga hari pengundian pada 28 September ini.
“Semua perancangan yang diatur Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Gerak kerja akan diteruskan walaupun calon bukan Wanita,” katanya.
Sementara itu, Rosni berkata BN turut memerlukan undi daripada kaum-kaum lain bagi memastikan kemenangan besar di PRK Mahkota.
Beliau berkata jika lihat keseluruhannya di Mahkota ada 66,318 pengundi.
“Daripada itu sebanyak 56% pengundi Melayu. Kita seharusnya dapat undi kaum lain seperti Cina dan India.
“Komposisi undi Cina sebanyak 22,460 bersamaan 34%. India pula sebanyak 5,142 bersamaan 8%.
“Lain-lain adalah 2%. Selain dapat undi Melayu, kita kena dapat undi kaum lain bagi memastikan kemenangan besar calon pemuda. Saya doa agar Syed Hussien dapat kejayaan besar,” katanya.