KUALA LUMPUR, 14 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, hari ini mengkritik tindakan Pemuda PAS yang meluluskan usul menggesa Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), untuk meletakkan jawatan dalam Muktamar PAS baru-baru ini.

Menurut Gulam, tindakan tersebut dianggap sebagai “syok sendiri” kerana usul itu hanya dibahas dan diluluskan oleh Pemuda PAS tanpa melibatkan pihak luar.

“Pemuda PAS sendiri yang mencadangkan, mereka juga yang membahas, dan akhirnya meluluskan usul itu. Persoalannya, siapa yang Pemuda PAS cadangkan untuk menggantikan PMX? Adakah YB Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) atau YB Tuan Guru Hadi Awang (TGHA)? Mereka perlu nyatakan secara jelas,” kata Gulam dalam kenyataannya.

Selain itu, Gulam turut menegur Pemuda PAS yang menggunakan alasan kes mahkamah Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH) untuk mendesak peletakan jawatan PMX.

Menurutnya, jika kes mahkamah dijadikan alasan, Pemuda PAS sepatutnya turut mendesak pemimpin-pemimpin lain seperti Menteri Besar Perlis, Menteri Besar Kedah, dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk berbuat demikian.

“Pemuda PAS mengamalkan sikap double standard. Mereka hanya mendesak PMX dan DS Zahid kerana isu mahkamah, tetapi tidak pula mendesak pemimpin mereka sendiri yang juga menghadapi kes mahkamah untuk berundur,” tegas Gulam.

Beliau juga mengingatkan Pemuda PAS bahawa hanya Ahli Parlimen yang boleh menentukan kedudukan seorang Perdana Menteri melalui undi percaya di Dewan Rakyat, bukannya melalui usul dari Muktamar PAS. Gulam menyifatkan ugutan untuk menggerakkan rakyat turun ke jalanan sebagai langkah yang tidak berperlembagaan dan primitif.

“Ugutan seperti ini hanya akan merosakkan kestabilan negara. Jangan jadikan rakyat dan negara sebagai mangsa permainan politik tidak bertamadun. Kita sepatutnya lebih matang dalam berpolitik,” katanya.

Gulam turut mencadangkan agar Pemuda PAS menumpukan kepada usaha menggantikan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) dengan PAS, bukannya terus bergantung kepada Parti Bersatu yang menurutnya kini menjadi liabiliti kepada gabungan tersebut.

“PAS lebih baik menerajui PN daripada terus bergantung kepada Bersatu yang ibarat ‘biawak hidup’ yang terpaksa mereka dokong,” tambah Gulam.

Pemuda PAS Dikecam “Syok Sendiri”

Isu ini timbul selepas Pemuda PAS meluluskan usul untuk mendesak peletakan jawatan YAB PMX pada Muktamar PAS yang berlangsung selama dua hari. Langkah itu dikritik oleh pelbagai pihak, termasuk pemimpin-pemimpin UMNO, yang menganggap tindakan Pemuda PAS tidak realistik dan lebih kepada retorik politik.

Pemuda PAS setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kritikan yang dilemparkan.

Leave a Reply