KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Dato’ TPr Abd Razak bin Abd Rahman menyuarakan ketidaksetujuan beliau terhadap kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung larangan ke atas pemilik tanah persendirian untuk merobohkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik mereka.
Menurut Abd Razak, walaupun beliau tidak menyokong tindakan merobohkan mana-mana rumah ibadat secara membuta tuli atau tanpa mengikut proses undang-undang, kerajaan tidak wajar meletakkan hak pemilik tanah yang sah di kedudukan kedua semata-mata kerana struktur yang menceroboh itu adalah rumah ibadat.
Beliau menegaskan bahawa Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin hak seseorang terhadap harta benda, dan hak milik yang sah bukan sekadar nama di atas geran, sebaliknya hak yang mesti dilindungi oleh undang-undang negara.
Mengulas dari sudut perundangan, beliau merujuk Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang mewajibkan kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum sebarang bangunan dibina, dan peraturan ini terpakai tanpa pengecualian termasuk ke atas rumah ibadat.
Tambah beliau, Seksyen 72(1) Akta 133 turut memberi kuasa penuh kepada PBT untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, termasuk mengeluarkan arahan perobohan terhadap mana-mana struktur yang didirikan secara haram.
Abd Razak turut memetik pendedahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sendiri yang merekodkan sebanyak 1,305 aduan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bagi tempoh 2025 hingga 2026, melibatkan 197 operasi penguatkuasaan serta 432 tindakan, membuktikan isu berkenaan bukan kes terpencil.
Selain itu, kewujudan Manual Prosedur Standard oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi menangani pencerobohan tanah persendirian menjadi bukti bahawa pemilik tanah memerlukan perlindungan serta mekanisme penyelesaian yang konkrit.
Dari perspektif sebagai seorang perancang bandar, beliau menekankan bahawa setiap pembangunan dan penggunaan tanah mesti berlandaskan perancangan teratur, status hak milik yang jelas, kelulusan pihak berkuasa, serta pematuhan undang-undang sepenuhnya.
Beliau memberi amaran agar masyarakat tidak dibiarkan mempunyai persepsi bahawa sesuatu bangunan boleh dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan hanya kerana fungsinya berkait dengan hal ehwal keagamaan.
Sehubungan itu, Abd Razak menuntut penjelasan daripada Nga Kor Ming mengenai jaminan kerajaan terhadap pemilik tanah yang memegang geran sah, tempoh masa mereka terpaksa menanggung kerugian serta kos guaman, dan mekanisme bagi mengelakkan pihak penceroboh terus melengah-lengahkan proses perundangan.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru agar kerajaan tidak hanya meminta rakyat menjaga sensitiviti kaum dan agama, sebaliknya memastikan keadilan undang-undang dilaksanakan tanpa pilih kasih demi memelihara prinsip kedaulatan undang-undang negara.
#BeritaAAC #KedaulatanUndangUndang #HakMilikTanah #TadbirUrus #ThisIsKepong