KUALA LUMPUR, 17 September 2024 – Industri pertanian Malaysia semakin pesat berkembang dengan pengenalan teknologi-teknologi terkini, terutamanya dalam penggunaan mikrob untuk meningkatkan hasil tanaman.
Menurut Pengarah Pemasaran MQH Resources Sdn Bhd, En Hamzah, terdapat 8 jenis mikrob yang mampu memberikan manfaat besar kepada sektor pertanian negara, menjadikannya sebagai elemen penting dalam pertanian moden.
Walaupun negara-negara jiran seperti Thailand, Brunei, dan Indonesia sudah menunjukkan minat terhadap teknologi yang dikembangkan di Malaysia, para pekebun tempatan dilihat masih belum sepenuhnya mengambil peluang untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi ini.
Hal ini membangkitkan persoalan tentang kesediaan pekebun-pekebun Malaysia dalam mengadaptasi teknologi baharu, yang jelas dapat membantu meningkatkan hasil dan produktiviti mereka.
Wakil pertanian tempatan menyatakan, “Jika negara luar berminat dengan teknologi kita, mengapa para pekebun Malaysia tidak melihat perkara ini dengan lebih mendalam?”, katanya
Beliau turut menyeru agar pekebun Malaysia membuka minda dan mempelajari teknologi baru yang tersedia. Antara kemajuan yang telah dicapai termasuklah dalam penggunaan drone dan mesin pertanian moden, tetapi kelemahan masih terdapat dalam sistem pembayaran yang digunakan.
Menurut beliau, sistem pembayaran konvensional kini sudah ketinggalan zaman, dan terdapat teknologi baru yang mampu mempercepatkan dan mempermudah proses pembayaran dalam industri pertanian.
Selain itu, penggunaan teknologi nano juga ditekankan sebagai salah satu inovasi penting yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada sektor pertanian.
Teknologi ini, katanya, bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan tenaga pekebun, malah dapat membantu menjaga hasil pertanian serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Dalam menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian, beliau juga menyatakan bahawa sektor ini kini lebih mudah dan kurang membebankan berbanding dahulu.
Dengan bantuan teknologi, kerja-kerja pertanian kini dapat dilakukan dengan lebih efisien, berbanding masa lalu di mana petani perlu melaksanakan pelbagai proses seperti penggunaan baja kimia, organik, dan kapur secara berasingan.
“Dulu, petani muda perlu melakukan 3-4 kali kerja. Sekarang ini, hanya perlu melakukan kerja sekali untuk memastikan hasil yang sustain dalam jangka masa panjang,” tambah beliau lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa pertanian adalah sumber kekuatan utama negara, terutamanya ketika berhadapan dengan cabaran seperti pandemik COVID-19. Sumber makanan tempatan yang sustainable adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
Melalui sistem TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), lebih ramai golongan muda diharapkan untuk terlibat dalam inovasi pertanian, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan penghasilan sumber makanan tempatan yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan dari luar negara.
Untuk mencapai matlamat ini, beliau berharap agar pihak kerajaan akan memberikan sokongan penuh kepada usaha untuk menarik lebih ramai anak muda menceburi sektor pertanian, seterusnya memastikan kelestarian dan kemajuan industri ini di Malaysia.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu mempermudahkan birokrasi dalam usaha kami mengeksport teknologi ini ke luar negara dan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian yang semakin berkembang,” katanya.
Mengenai Baja Black Wizard Green (BWG)
Baja Black Wizard Green (BWG) merupakan baja hibrid semi organik yang menggunakan gabungan nanoteknologi dan teknologi “coating” untuk meningkatkan kecekapan nutrien dan melindungi tanaman. Baja ini dirumus khas untuk menyokong pertanian mesra alam dengan menggabungkan kulat dan Mikrob Efektif (EM) bersama NPK makro dan mikro nutrien. Teknologi “Control Release Fertilizer (CRF)” memastikan nutrien dilepaskan secara terkawal dan hanya digunakan apabila diperlukan, mengurangkan pembaziran dan pencemaran.
BWG juga mengandungi pelbagai mikroorganisma baik seperti Trichoderma, Mychorriza, serta bakteria Lactobacillus, Proteolytic, NFB, PSB, dan KMB yang membantu meningkatkan serapan nutrien hingga 40%, menjimatkan kos pembajaan. Dengan sifat yang tidak panas dan tidak berasid, baja ini selamat untuk digunakan dan tidak menyebabkan alahan kepada manusia.