Kuala Lumpur, 18 September 2024 – Dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak terlibat secara langsung dalam penubuhan dan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kembali dipersoalkan selepas beberapa keterangan penting di mahkamah menafikan penglibatan beliau dalam keputusan strategik syarikat tersebut.

Dokumen dan keterangan yang dibentangkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, terbukti bahawa penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB, bukanlah hasil idea DS Najib.

Sebaliknya, TIA diasaskan atas nasihat Jho Low, seorang penasihat kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, manakala Shahrol Azral dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA sebelum dilantik sebagai CEO 1MDB.

Lebih menarik, menurut keterangan Shahrol di mahkamah, keputusan untuk melantik DS Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dicadangkan oleh Shahrol sendiri, bukan oleh DS Najib.

Ini sekaligus menafikan sebarang tuduhan bahawa DS Najib merancang penubuhan 1MDB untuk tujuan yang mencurigakan atau berniat jahat.

Dalam perbicaraan tersebut, keterangan juga menunjukkan bahawa segala keputusan strategik 1MDB, termasuk pembelian Tanjong Energy, diuruskan oleh pihak pengurusan syarikat, terutamanya Shahrol Azral dan Jho Low, serta penasihat kewangan syarikat, Goldman Sachs.

DS Najib tidak terlibat secara langsung dalam keputusan tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Jasmine Loo, bekas penasihat undang-undang 1MDB, yang mengakui di mahkamah bahawa DS Najib tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan pembelian Tanjong Energy.

Perkara ini menimbulkan keraguan besar terhadap tuduhan yang mendakwa DS Najib menyalahgunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk mendapatkan suapan hampir RM90.9 juta daripada urusan pembelian Tanjong Energy. Dalam perbicaraan, didedahkan bahawa keputusan membeli syarikat tenaga tersebut dibuat oleh Shahrol Azral berdasarkan nasihat Goldman Sachs selepas beliau diperkenalkan kepada pegawai tinggi Mubadala oleh Jho Low.

“DS Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam urusan pembelian ini,” ujar peguam pembelaan, merujuk kepada keterangan di mahkamah yang menunjukkan DS Najib malah meminta perancangan pembelian ini dinilai oleh TS Nor Yakcop, Menteri Kewangan Kedua ketika itu.

Pendedahan ini sekali lagi membuka ruang kepada perbincangan mengenai peranan sebenar individu-individu yang bertanggungjawab dalam urus tadbir 1MDB dan seterusnya menimbulkan persoalan terhadap keadilan tuduhan yang dikenakan terhadap DS Najib.

Sumber : Rf Lias, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Leave a Reply