KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2024 – Lebih 100 pelabur yang menjadi mangsa penipuan pelaburan syarikat pelaburan PT Andalan Trusti Global yang berpusat di Indonesia yang disertai hampir dua tahun itu kini menuntut tindakan tegas daripada pihak berkuasa selepas syarikat tersebut gagal memberikan pulangan yang dijanjikan.

Ramai daripada mereka melaburkan wang dengan harapan memperoleh keuntungan tinggi, namun selepas lebih dua tahun, pelaburan yang dijanjikan tidak membuahkan hasil.

Syarikat PT Andalan telah menawarkan skim pelaburan dengan jaminan pulangan lumayan, menyebabkan ramai pelabur menyuntik wang mereka, dengan pelaburan minimum sebanyak RM23,000 atau USD 5,000. Namun, janji tersebut tidak ditunaikan, dan pelabur tidak menerima sebarang pulangan.

Kehidupan Mangsa Terjejas

Pelabur yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang terpaksa mengambil pinjaman bank, kini berdepan kesan buruk terhadap kehidupan mereka. Kes ini telah menyebabkan kerosakan yang ketara dalam kehidupan peribadi dan kewangan mangsa, malah ada yang mengalami perceraian dan masalah kewangan yang serius.

“Semua simpanan saya telah dilaburkan dalam syarikat ini. Saya juga membuat pinjaman bank untuk menambah pelaburan, tetapi kini saya tidak tahu bagaimana untuk membayar balik pinjaman tersebut,” kata seorang mangsa yang enggan dikenali.

Tuntutan Siasatan Menyeluruh

Mangsa, yang kini mendapat sokongan daripada Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash menuntut siasatan menyeluruh terhadap syarikat PT Andalan Trusti Global yang berpusat di Indonesia dan menuntut 7 orang penama ini mengembalikan kembali semula wang kepada mangsa yang terlibat dalam skim ini.

7 orang itu ialah:-
Hazlami Bin Che Mat (Lami)
Hairol Anuar Bin Hairol Azmi (Acik)
Azman Fikri Bin Hanapi (Joe)
Norzaza Binti Mansor (Zaza)
Koh Lee Gen (Legend)
Daren Goh (Darren)
Muhammad Khairul Syafiq bin Kamarul Ariffin (Warung Kebun)

Mereka berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk mengembalikan wang pelaburan mereka dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.

“Kami hanya mahu keadilan. Kami telah kehilangan wang kami, kehidupan kami musnah. Kami mahu pihak berkuasa menyiasat dengan teliti dan memulangkan wang kami,” ujar salah seorang mangsa.

Kelewatan Tindakan Pihak Berkuasa

Walau bagaimanapun, terdapat keluhan mengenai kelewatan tindakan daripada pihak berkuasa. Menurut mangsa, beberapa laporan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa sejak dua tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehinggalah isu ini mendapat perhatian luas di media sosial.

“Tindakan hanya diambil selepas kes ini menjadi viral. Pihak berkuasa perlu lebih proaktif dalam menangani kes-kes penipuan seperti ini,” tambah seorang lagi mangsa.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai tindakan yang akan diambil terhadap syarikat PT Andalan.

Mangsa Mahukan Pembelaan

Mangsa penipuan ini berharap agar kes mereka dijadikan teladan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati ketika melabur, serta meminta pihak berkuasa untuk lebih cepat bertindak agar tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan pelaburan di masa hadapan.

#ScammerAlert #pelaburan #virals

Leave a Reply