KUALA LUMPUR, 8 November 2026 – Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (SUARA RAKYAT) menyuarakan kebimbangan serius terhadap perbezaan tafsiran undang-undang yang timbul antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan keputusan pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membabitkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Pengerusi SUARA RAKYAT, Mohd Zai Mustafa menegaskan, kekeliruan terbuka yang wujud ekoran kenyataan media AGC pada 6 November disusuli penjelasan Istana Negara pada 7 November itu bukanlah isu remeh, sebaliknya melibatkan soal kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta kuasa tertinggi institusi diraja.
Menurut beliau, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan, penangguhan mahupun peringanan hukuman adalah hak mutlak serta budi bicara YDPA yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak.
”AGC tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengatasi, menafikan apatah lagi mempertikaikan titah YDPA. Sebarang pendirian AGC yang bercanggah dengan titah Baginda adalah satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Raja dan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, AGC berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan agensi pelaksana yang wajib patuh kepada lunas perlembagaan, bukannya badan yang berhak mencipta tafsiran baharu bagi mengubah ketetapan yang telah dizahirkan.
Tindakan mengambil pendirian berbeza daripada titah YDPA disifatkan bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, malah menghakis keyakinan awam terhadap kredibiliti institusi negara serta mencemarkan sistem Raja Berperlembagaan.
Mengulas mengenai nasib Najib Razak, Mohd Zai menegaskan bahawa bekas pemimpin negara itu berhak menerima layanan adil mengikut undang-undang dan sebarang keputusan pengampunan bertarikh 18 September lalu wajib dihormati tanpa sebarang kelewatan.
”Menangguhkan pelaksanaannya atas alasan perbezaan pandangan teknikal adalah satu kezaliman serta pengkhianatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, SUARA RAKYAT mengemukakan tuntutan agar AGC segera tampil menjelaskan pendiriannya secara terbuka kepada rakyat dan melaksanakan keputusan pengampunan berkenaan tanpa berlengah.
Pihak badan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendesak AGC menarik balik apa jua pandangan atau ketetapan yang dilihat bercanggah dengan titah YDPA demi memelihara keharmonian undang-undang negara.
Pada masa sama, SUARA RAKYAT menuntut Perdana Menteri serta kerajaan persekutuan mengambil tindakan tegas bagi memastikan tiada agensi kerajaan membelakangkan titah Tuanku, sekali gus menghentikan polemik yang boleh ditafsirkan sebagai tindakan menderhaka.
Mohd Zai memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan kemelut ini serta berdiri teguh bersama aspirasi rakyat dalam mempertahankan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.
#NajibRazak #PengampunanDiraja #SuaraRakyat #KedaulatanPerlembagaan #BeritaAAC