KUALA LUMPUR – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukti rakyat inginkan kestabilan politik.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata majoriti 20,648 undi yang diperolehi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah merupakan diluar jangkaan.

“Jangkaan kita memperolehi majoriti undi 10,000 atau 15,000.

“Kita dapati semua pusat daerah mengundi (PDM) yang dulu kalah kini semua menang. Saya lihat pengundi sudah penat dengan isu politik. Mereka ingin lihat kestabilan politik.

“Politik stabil maka ekonomi juga stabil. Pengundi Mahkota sangat bijak kerana mementingkan kestabilan politik,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahan kerusi itu selepas Syed Hussien menang bergaya dengan majoriti 20,648 undi selepas mendapat 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada PN Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya sebelum ini, dengan empat daripadanya dimenangi BN.

Sementara itu, Rosni menyambut baik seruan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak berasa megah dan angkuh dengan kemenangan besar di Mahkota.

Beliau berkata keputusan di Mahkota adalah hasil sumbangan semua pihak.

“Sama ada UMNO, PKR, Amanah dan DAP sendiri.

“Mereka semua nak lihat politik Malaysia, DUN Mahkota dan Johor stabil,” katanya.

Menurut Rosni, tiada apa yang ingin diubah di Mahkota kerana DUN itu sebahagian daripada kerajaan negeri Johor.

Beliau berkata mengekalkan Mahkota kepada BN membolehkan kerajaan Johor dapat fokus kepada membangunkan ekonomi rakyat.

Rosni juga berterima kasih kepada jentera Wanita UMNO yang ‘berkampung’ kempen di Mahkota.

“Tahniah pengundi di Mahkota. Sumbangan pengundi Mahkota kuatkan lagi semangat kerajaan Johor dan negara untuk fokus kepada kestabilan politik serta membangunkan ekonomi,” katanya.

Leave a Reply