Dalam dunia sukan yang penuh cabaran, nama Taufik mungkin tidak asing lagi, terutama dalam kalangan atlet paralimpik yang menjadikan bina badan sebagai landasan kejayaan mereka. Bagi Taufik, atlet bina badan orang kurang upaya (OKU), cabaran dalam sukan ini bukan sekadar mengangkat beban fizikal tetapi juga bebanan persepsi dan penerimaan masyarakat. Setelah 14 tahun berkecimpung dalam dunia bina badan, Taufik masih berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tanggapan negatif yang meragui keupayaannya. Namun, beliau membuktikan bahawa sukan bina badan bukan hanya untuk mereka yang memiliki kemampuan fizikal yang sempurna. “Cabaran bagi saya, untuk selama 14 tahun saya berada dalam legasi bidang bina badan, agak sukar sebab orang susah nak percaya dengan saya,” jelas Taufik.
Sejak awal lagi, sukan bina badan hanyalah hobi bagi Taufik, namun lama-kelamaan minat ini menjadi sesuatu yang lebih bermakna. “Dulu hobi, sekarang saya tukar jadi kejayaan,” tambahnya lagi, menggambarkan transformasi dirinya dari seorang peminat kepada seorang atlet profesional yang diiktiraf. Sukan ini juga membuka peluang bagi Taufik untuk melatih dua orang atlet muda yang bersemangat tinggi, di mana salah seorang daripada mereka telah berjaya menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu. Meskipun hanya dua orang yang berjaya mengharungi latihan keras yang diatur oleh Taufik, beliau tidak berasa kecewa sebaliknya berbangga dapat mencipta peluang untuk orang lain yang juga bercita-cita tinggi dalam sukan bina badan.
Taufik mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia bina badan yang bermula sejak beliau berusia 15 tahun. Pada masa itu, beliau memulakan perjalanan ini hanya kerana minat semata-mata, tanpa sebarang niat untuk bersaing di peringkat profesional. “Sebab dulu masa sekolah, cikgu banyak ketepikan saya supaya tidak bersukan,” ujar Taufik dengan nada kesal. Namun, daripada kecewa, beliau menjadikan situasi itu sebagai motivasi untuk terus maju. Dari sekadar hobi di zaman remaja, sukan bina badan akhirnya membawa Taufik ke pentas kejayaan.
Pada tahun 2018, Taufik melakar sejarah apabila menjadi atlet paralimpik yang mewakili negeri Selangor dalam acara SUKMA. Tidak hanya itu, beliau berjaya meraih pingat gangsa dalam acara bina badan di SUKMA Perak 2018, dan seterusnya pingat emas yang menjadi pencapaian tertinggi beliau. Kejayaan ini bukan sahaja memberikan kepuasan kepada dirinya, tetapi juga membuktikan kepada masyarakat bahawa seorang atlet OKU mampu mengukir nama dalam arena sukan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran fizikal dan mental.
Bagi Taufik, impiannya adalah untuk membuka mata masyarakat supaya tidak memandang rendah terhadap keupayaan atlet OKU dalam sukan ini. “Niat saya untuk buka mata masyarakat kat luar sana supaya tak pandang rendah,” tegasnya dengan penuh semangat. Harapan ini mendorong beliau untuk terus memberi inspirasi kepada orang ramai, khususnya golongan OKU yang mungkin sering dipinggirkan dalam pelbagai bidang, termasuklah sukan.
Selain dedikasi dan kesungguhan, kejayaan dalam sukan bina badan juga memerlukan disiplin yang tinggi terutama dalam menjaga kesihatan dan pemakanan. Bagi Taufik, aspek kesihatan dan pemakanan adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua atlet. “Bagi saya, kepada semua yang minat dalam sukan bina badan, teruskan. Jaga kesihatan, jaga pemakanan dengan lebih elok, itu sahaja,” pesannya yang menyedarkan tentang pentingnya kesihatan dalam mencapai kejayaan.
Namun begitu, sukan bina badan sering dianggap sebagai sukan yang mahal kerana kos latihan, pemakanan, dan suplimen yang tinggi. Menyedari cabaran kewangan ini, Taufik percaya bahawa aspek kewangan hanyalah cabaran sampingan. Baginya, minat adalah kunci utama yang mendorong seseorang untuk berjaya. “Mahal tu jatuh nombor dua. Semua yang kunci utama adalah minat. Minat, itu nombor satu,” katanya dengan penuh yakin, menekankan bahawa minat yang mendalam adalah faktor utama yang akan membantu seseorang mengharungi cabaran dalam sukan ini.
Perjalanan Taufik dalam dunia bina badan bukan hanya sekadar kisah kejayaan seorang atlet, tetapi juga satu inspirasi kepada semua, terutamanya golongan OKU yang sering kali disisihkan. Dengan semangat yang tinggi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi, Taufik berjaya mengubah minatnya menjadi satu legasi yang mampu membuka mata masyarakat. Kisah beliau membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam hidup, asalkan seseorang itu berusaha dengan sepenuh hati dan tidak mudah berputus asa.
Kisah Taufik adalah contoh bagaimana hobi boleh menjadi satu jalan untuk mencapai kejayaan besar dalam hidup. Kejayaan yang dikecapi beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan dirinya tetapi juga satu mesej penting kepada masyarakat untuk tidak memandang rendah kepada sesiapa sahaja.