Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Ogos 2022- Moevd Groups Sdn Bhd, sebuah syarikat berdaftar di Malaysia yang membangunkan dan menawarkan Servis Aplikasi Gaya Hidup (People’s Lifestyle App) di bawah jenama Moevd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji (PAPUH) & Zurich General Takaful Malaysia Berhad. Majlis menandatangani ke dua-dua MoU ini berlangsung di Hotel Grand Barakah, Kuala Lumpur.
MoU ini telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Moevd Groups Sdn Bhd, Zumy Zuheidy dan Presiden PAPUH, Dato Sri Razali Bin Mohd Sham.
MOU bersama PAPUH ini adalah bertujuan untuk membuka peluang kepada semua agensi umrah di Malaysia yang berdaftar dengan PAPUH untuk mengembangkan) agensi umrah mereka di Aplikasi Moevd yang baru diperkenalkan kepada rakyat Malaysia. Melalui perkhidmatan Moevd Umrah di dalam aplikasi ini, agensi umrah yang telah berdaftar boleh menawarkan semua pakej umrah sepanjang tahun kepada bakal jemaah umrah secara dalam talian.
Manakala MoU dengan Zurich pula ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Moevd dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Shamsul Azman. Zurich merupakan rakan strategik Moevd Groups yang menawarkan pelan takaful perjalanan untuk pelanggan yang membeli pakej umrah di platform Moevd, selain daripada takaful kenderaan dan takaful kemalangan diri.
“Aplikasi Moevd ini akan menjadi platform “aggregator” pertama di Malaysia yang menawarkan pelbagai pakej umrah di bawah satu platform. Pelanggan boleh membuat perbandingan dan memilih pakej umrah yang terbaik untuk diri sendiri atau keluarga secara dalam talian, pada bila-bila masa dan di mana sahaja” kata Zumy Zuheldy, Ketua Pegawai Eksekutif Moevd.
Dato Sri Razali berkata, “Dengan adanya perkhidmatan Moevd Umrah ini, semua agensi yang berdaftar di bawah PAPUH boleh menggunakan platform ini untuk mempromosikan dan mengembangkan lagi rangkaian perniagaan umrah mereka.”
Ketua Pegawai Eksekutif, Zurich Takaful berkata, “Kami teruja dapat bekerjasama dengan Moevd untuk menyediakan perlindungan takaful untuk rakyat Malaysia, terutamanya yang mahukan lebih ketenangan fikiran ketika menunaikan umrah. Persediaan untuk sebarang perjalanan tanpa mengira tujuan, seharusnya meliputi perlindungan perjalanan sebagai salah satu aspek utama. Kerjasama ini adalah salah satu cara Zurich untuk bersama pelanggan menghayati kehidupan bagi membina masa depan yang lebih cerah.”
Selain dari perkhidmatan Umrah dan Perlindungan Takaful, Aplikasi Moevd juga menawarkan perkhidmatan e-hailing, perkhidmatan penghantaran makanan dan perkhidmatan penghantaran dokumen dan bungkusan pada hari yang sama.
Untuk makluman lanjut mengenai aplikasi Moevd, sila layari Facebook dan Instagram dan laman sesawang moved.com