KUALA LUMPUR – Wanita UMNO yakin kemenangan besar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Mahkota dapat diulangi di Ayer Kuning.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata kemenangan besar itu boleh dicapai dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya amat yakin kemenangan besar kita di PRK DUN Mahkota boleh diterjemahkan semula dalam keputusan PRK DUN Ayer Kuning.
“Saya melihat kalau masuk dalam tiket kerajaan perpaduan, kita boleh menang besar,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosni berkata keyakinan itu berdasarkan keputusan PRU15 di mana calon BN, Ishsam Shahruddin mendapat 9,088 undi dan calon PH mendapat 6,875 undi.
Beliau berkata amat yakin undi kepada calon PH sebelum ini akan pergi kepada calon BN.
“Kalau formula ini terjadi boleh dapat majoriti besar lebih 8,000 undi.
“Harapan saya PRK Ayer Kuning dapat menang besar sebab selepas ini kita akan hadapi PRN di Sabah. Lepas hari Raya Aidilfitri, akan buat persiapan PRN Sabah pula,” katanya.
Sementara itu, Rosni berkata BN dapat meletakkan calon yang winnable (boleh menang) di PRK DUN Ayer Kuning.
Beliau bagaimanapun berharap calon Wanita akan dipilih di PRK Ayer Kuning oleh BN.
“Itu sentiasa menjadi harapan Wanita UMNO.
“Bagaimanapun tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.
Rosni juga berkata jentera Wanita UMNO sentiasa siap sedia dan telah menggerakkan jenteranya untuk hadapi PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, persediaan melalui jentera Wanita UMNO di peringkat pusat dan Perak sudah disusun.
“Sudah jalankan kerja bancian dan Wanita UMNO sentiasa berada di lapangan apabila PRK.
“Wanita sentiasa istiqamah dan patuh keputusan parti dan akan bekerja bersungguh-sungguh,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Ishsam, 59, yang dilapor meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, di Georgetown, sekitar 6 petang 22 Februari lalu.
Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.