SUNGAI LONG, 16 November 2024 – Selangor hari ini menjadi saksi kepada pelancaran rasmi GV Ride, sebuah platform e-hailing baharu yang menawarkan perkhidmatan inovatif kepada pengguna dan pemandu di seluruh negara.
Dirasmikan oleh Exco Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu Selangor, Ng Sze Han, pelancaran ini turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri sebagai usaha memperkasakan pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV), Kabeer Maand, menjelaskan bahawa GV Ride membawa pendekatan unik dengan menawarkan komisyen serendah 9% kepada pemandu, jauh lebih rendah berbanding syarikat e-hailing lain yang mengenakan antara 12% hingga 20%. Langkah ini, menurutnya, bertujuan meningkatkan pendapatan pemandu sambil mengekalkan kadar tambang yang kompetitif untuk pengguna.
“Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi GV Ride yang tersedia di App Store dan Google Playstore. Perkhidmatan pelanggan kami juga sentiasa bersedia membantu 24/7 melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan,” kata Kabeer. Beliau turut menambah bahawa setiap negeri akan diselia oleh seorang alpha kecuali wilayah Perak Utara, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, dan Langkawi, yang akan diuruskan oleh persatuan terpilih.
Sebagai satu daya tarikan, GV Ride menawarkan 1 juta perjalanan percuma dengan setiap perjalanan RM15 kebawah kepada pengguna sehingga hujung tahun ini. Promosi ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan perkhidmatan mereka kepada pengguna baharu, tetapi juga sebagai langkah strategik untuk bersaing dalam pasaran e-hailing yang semakin sengit.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran GV Ride di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang hari ini.
Selain perkhidmatan e-hailing konvensional, GV Ride sedang merancang untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran barang (P-Hailing) dalam masa terdekat. Ini dijangka memenuhi keperluan pengguna yang memerlukan perkhidmatan penghantaran barangan dengan mudah dan pantas.
Dalam usaha memperluas horizon perkhidmatan, GV Ride berhasrat memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini. Menurut Kabeer, pihak syarikat sedang dalam perbincangan dengan pembekal dari China untuk mendapatkan 2,500 unit kenderaan EV bagi fasa pertama.
“Kami juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar,” tambahnya.
Langkah ini juga seiring dengan sokongan kerajaan Negeri Selangor yang memperuntukkan RM20 juta untuk pembangunan pengangkutan awam. Infrastruktur pengecasan EV yang mencukupi di Lembah Klang turut diambil kira untuk merealisasikan visi ini.
Setakat ini, GV Ride telah berjaya mendaftarkan lebih daripada 5,000 pemandu di KLIA dan mensasarkan untuk mencapai angka 25,000 pemandu di seluruh negara menjelang akhir tahun. Dengan ciri keselamatan seperti pengesahan identiti pengguna dan pemeriksaan latar belakang pemandu, syarikat ini komited memastikan pengalaman perjalanan yang selamat dan dipercayai untuk semua.
Turut hadir dalam majlis pelancaran adalah Pengarah Urusan GV Ride, Ir Vincent Chew Hian Sern, yang menyatakan keyakinan bahawa GV Ride mampu menjadi penggerak perubahan dalam industri e-hailing dengan memberi manfaat kepada pengguna, pemandu, dan alam sekitar.
Untuk sebarang pertanyaan, pihak syarikat boleh dihubungi melalui Syauqina di talian 011-16005824.