KUALA LUMPUR – Presiden PUTRA, Dato’ Dr Ibrahim Ali, mengkritik Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kenyataan bercanggah mengenai isu Palestin dan Israel, menyifatkannya sebagai tidak konsisten dan berbelit-belit. Kritikan tersebut disampaikan dalam satu kenyataan media pada 17 November 2024, di mana Dr Ibrahim Ali melahirkan rasa kecewa terhadap pendirian PMX yang dianggap tidak jelas dan bersifat hipokrit.

“PMX bercakap dengan lantang mengutuk Israel dan menggesa penghapusan negara Zionis itu dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika di sidang kemuncak negara-negara Arab Islam. Namun, di platform antarabangsa lain seperti wawancara CNN, beliau menyatakan bahawa Israel haram jadah berhak wujud dan mempertahankan diri. Ini mencetuskan kekeliruan dan keraguan terhadap pendirian beliau,” kata Dr Ibrahim Ali.

Beliau menegaskan bahawa pendirian bercanggah seperti ini bukan sahaja mencemarkan kredibiliti pemimpin negara, malah mengundang rasa tidak percaya di kalangan rakyat yang cakna terhadap isu Palestin. Dr Ibrahim Ali turut mendakwa bahawa tindakan PMX itu mungkin bertujuan “makan keliling” demi memuaskan hati semua pihak, sekaligus menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang bersifat liberal dan pluralisme.

“Isu Palestin bukan modal kepuraan politik. Ia adalah isu sejagat umat Islam yang melibatkan jihad dan perjuangan menentang kezaliman Israel. PMX perlu berhenti memutar belit percakapan dan menyatakan satu pendirian yang jelas, telus, dan tegas di mana-mana platform,” tegas beliau.

Dr Ibrahim Ali juga mengingatkan PMX bahawa rakyat mungkin boleh dikelirukan untuk sementara waktu, tetapi tidak untuk selama-lamanya. “Rakyat Malaysia sedar dan faham isu Palestin ini adalah isu yang besar, bukan sekadar retorik politik. Mohon jangan mempermainkan minda rakyat,” tambahnya.

Menurutnya, ucapan Anwar di peringkat domestik dan antarabangsa menunjukkan sikap yang tidak selari dengan aspirasi umat Islam global yang menentang kezaliman Israel. Sebagai pemimpin, PMX seharusnya bersikap tegas tanpa memihak kepada mana-mana pihak yang menindas.

Dr Ibrahim Ali turut melahirkan rasa kecewa apabila mengenangkan perubahan sifat dan perjuangan PMX berbanding ketika beliau memimpin PKIM dan ABIM suatu masa dahulu. “Dulu, Anwar adalah simbol perjuangan Islam. Kini, beliau tampak lebih mementingkan publisiti peribadi dan pengaruh politik,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Dr Ibrahim Ali sekali lagi menyeru PMX untuk memperbaiki pendirian dan tindakan beliau mengenai isu Palestin-Israel. Beliau menutup kenyataannya dengan satu peringatan keras kepada PMX: “Please don’t insult people’s mind all the time. Rakyat sedang memerhati.”

Kenyataan Dr Ibrahim Ali ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi daripada penyokong dan pengkritik PMX, terutama dalam konteks isu Palestin-Israel yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat global. Dengan sentimen yang semakin meningkat terhadap isu ini, adalah penting bagi pemimpin negara untuk mengambil pendirian yang konsisten dan berintegriti.

Leave a Reply