Kuala Lumpur, 19 November 2024 – Malaysia bakal mencatat sejarah dengan penganjuran Media Townhall pertama yang akan berlangsung pada hari ini. Program ini menyediakan platform interaktif bagi pengamal media untuk bersemuka dengan pakar perundangan dan perlembagaan berprofil tinggi, membincangkan isu-isu utama seperti kes 1MDB yang mencetuskan pelbagai polemik di kalangan rakyat.

Dinamakan “The Untold Stories: 1MDB & Other Cases”, sesi perdana ini menggabungkan format sidang media dan panel perbincangan secara langsung. Berbeza daripada panel tradisional, Media Townhall menampilkan perbincangan dinamik yang dikendalikan oleh aktivis undang-undang terkenal, Datuk Haji Kamarudin Ahmad, dengan ruang khas untuk sesi soal jawab oleh wakil media.

Mengupas Isu Penting Secara Terbuka

Media Townhall ini bertujuan untuk menjelaskan isu-isu sensitif, termasuk keputusan perundangan kontroversi, tafsiran undang-undang perlembagaan, serta implikasi terhadap wacana awam. Penganjur berharap format baharu ini dapat memecahkan kekeliruan masyarakat terhadap isu-isu ini, seterusnya membolehkan rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta dan perspektif yang seimbang.

Barisan Panel Terkemuka

Antara tokoh yang ditampilkan dalam sesi ini ialah:

  1. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah – Seorang peguam perlembagaan dan pejuang hak asasi manusia yang disegani, beliau akan mengupas penggunaan bukti hearsay dalam kes 1MDB dan potensi impaknya terhadap perbicaraan masa depan. Tan Sri Shafee juga akan menyentuh kes SRC yang melibatkan tuntutan sivil RM42 juta dan RM25 juta, sekaligus mengupas persoalan akauntabiliti korporat berbanding individu.
  2. Tan Sri Azhar Azizan Harun (Art Harun) – Bekas Speaker Dewan Rakyat dan peguam berpengalaman ini akan memberi pandangan mendalam mengenai tafsiran perlembagaan, termasuk peranan Yang di-Pertuan Agong dan Addendum kontroversi untuk “House Arrest.” Beliau juga akan menganalisis kesan pindaan terkini, terutama terhadap hukuman penjara enam tahun Datuk Seri Najib Razak.
  3. Adzly Abdul Manas – Seorang peguam kanan dan pengamal Syariah, beliau akan berkongsi pandangan tentang implikasi kes-kes ini terhadap masyarakat umum. Kepakarannya dalam mediasi, undang-undang korporat, dan kepimpinan NGO dijangka menambah perspektif yang menyeluruh.

‘Moderator’ oleh Datuk Haji Kamarudin Ahmad

Sesi ini di’moderator’kan oleh Datuk Haji Kamarudin Ahmad, peguam dan aktivis yang kerap membincangkan isu-isu undang-undang di media sosial. Gaya beliau yang interaktif dan mendalam dijangka dapat memastikan perbincangan berlangsung dengan inklusif dan bermakna.

Era Baharu Penglibatan Media

Media Townhall ini, yang dianjurkan oleh AP Media Communications, mencetus era baharu dalam penglibatan media di Malaysia. Program ini bukan sahaja bertujuan memberi penjelasan terhadap naratif bercanggah dalam media arus perdana dan media sosial, malah akan menjadi asas kepada siri perbincangan mendalam di masa hadapan.

Leave a Reply