KUALA LUMPUR, 15 Desember 2024 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, tampil memberikan kenyataan tegas mengenai isu keahlian politiknya yang hangat diperkatakan. Beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat berhubung keahliannya dalam mana-mana parti, walaupun terdapat perbincangan dengan pihak tertentu seperti yang disebut Perdana Menteri. Namun, beliau kesal kerana tidak dihubungi oleh pucuk pimpinan UMNO bagi mendapatkan penjelasan langsung.

“Saya terkejut dengan kenyataan yang muncul daripada kepimpinan parti mengenai perkara ini. Sejak isu ini dibangkitkan, tiada panggilan atau pertanyaan daripada pihak atasan UMNO untuk memahami situasi sebenar,” kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan Medianya

Beliau yang juga Menteri MITI turut berkongsi bahawa keputusan meninggalkan dunia korporat untuk menyertai pentadbiran kerajaan adalah demi memberikan sumbangan terbaik kepada rakyat. Bagi beliau, politik adalah landasan untuk melaksanakan agenda pembangunan negara, dan keputusannya perlu selari dengan prinsip serta kepercayaan individu.

“Saya percaya rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik yang bersifat remeh, seperti agenda serangan peribadi tanpa asas dan budaya cah keting. Apa yang diperlukan sekarang adalah politik yang membina, bukan ekstrem. Fokus kita harus pada usaha membangunkan negara,” ujarnya.

Mengulas mengenai laporan perbincangan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tengku Zafrul mengesahkan bahawa perbincangan tersebut hanyalah pada peringkat awal dan tidak menyentuh soal jawatan politik atau pilihan raya kecil. Tegasnya, tiada keputusan dibuat, dan jika ada, beliau akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO.

Tengku Zafrul juga menyeru agar politik Malaysia bergerak ke arah toleransi dan kerjasama, selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan. “Kerajaan ini dibina atas dasar semangat kerjasama yang utuh. Kita perlu menerima perbezaan pandangan tanpa mengganggu objektif utama, iaitu membawa kesejahteraan kepada rakyat,” tambahnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menekankan keperluan untuk menjadikan dasar rakyat sebagai keutamaan. “Apa yang penting adalah dasar untuk rakyat, bukan politik yang merosakkan. Politik perlu membina, bukan menghancurkan,” katanya penuh optimis.

Tengku Zafrul kini terus memegang prinsip memperjuangkan rakyat sambil menekankan keperluan perubahan budaya politik agar fokus utama kembali kepada pembangunan negara, bukan perebutan kuasa atau agenda peribadi.

Leave a Reply