KUALA LUMPUR, 28 Disember 2024 – Kenyataan Peguam Negara (AG) pada petang Sabtu yang juga cuti umum telah mencetuskan kontroversi baharu berhubung isu addendum diraja. Dalam kenyataan tersebut, AG menggunakan hujah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk membincangkan proses pengampunan diraja, namun tafsirannya dianggap rumit dan membingungkan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mempersoalkan kenyataan tersebut yang dilihat seperti cuba membelit fakta sebenar. “Isunya bukan tentang keputusan dibuat dalam atau luar Lembaga Pengampunan, tetapi apakah addendum titah diraja benar-benar wujud atau tidak pada 6 Januari 2025,” tegas beliau. Menurutnya, umum tidak memerlukan addendum baru, tetapi hanya kebenaran tentang addendum yang dikatakan telah wujud.
Beliau turut menyentuh bahawa peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, yang diketuai Tan Sri Shafee Abdullah, sudah tentu cukup arif dalam menguruskan proses ini. Namun, kenyataan AG menimbulkan bau seolah-olah ada keputusan tertentu telah dibuat lebih awal, sekali gus menimbulkan persoalan tentang subjudis.
“Dua minggu lalu, kenyataan tentang subjudis ditekankan, tetapi kini tiada isu subjudis pula? Apa sebenarnya yang berlaku? Sikap yang berubah-ubah ini hanya merumitkan keadaan,” ujar Gulam lagi.
Beliau turut menyoal mengapa AG sukar mengakui kewujudan addendum diraja. Menurutnya, jika dirujuk kepada kenyataan AG sendiri, pengampunan diraja yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-14 juga boleh dipersoalkan dari sudut proses dan peraturan.
“Ada beza ke Perkara 42 yang diguna pakai untuk PMX dengan Bossku? Pengampunan kepada PMX adalah kes rujukan (precedent case). Jadi, kenapa kini terdapat penafsiran berbeza?” soal beliau lagi.
Isu ini menjadi semakin hangat apabila kenyataan AG dilihat mendahului keputusan mahkamah. Gulam menekankan bahawa kebenaran perlu dijelaskan tanpa berpihak agar keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan tidak terjejas.
Gulam menegaskan pentingnya ketelusan dalam isu ini. “Apa yang diperlukan sekarang adalah pengakuan tentang fakta sebenar, bukan kenyataan yang menambah kekeliruan,” katanya.