Syed Rosli: Penyelesaian Kes Najib Tidak Perlu Rumit, AG Perlu Bertindak Segera
KUALA LUMPUR, 2 Januari 2025 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail, menggesa Peguam Negara (AG) untuk menyelesaikan isu berkaitan titah addendum bagi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan segera. Beliau menegaskan bahawa kenyataan berbelit yang dikeluarkan oleh AG baru-baru ini telah mengelirukan rakyat.
“Awal Disember, AG mengatakan isu ini subjudis. Kemudian pada 28 Disember, beliau menyatakan pengampunan kedua diperlukan. Apa sebenarnya yang berlaku?” soal Syed Rosli ketika ditemui Wartawan AATV.
Beliau menyatakan kebimbangan bahawa rakyat, khususnya keluarga Najib, semakin keliru dengan perkembangan ini.
Menurut Syed Rosli, jika titah addendum yang difailkan oleh anak Najib, Datuk Nizar Najib, adalah palsu, pihak Istana Pahang pasti telah mengambil tindakan undang-undang. Namun sehingga kini, tiada laporan polis dibuat oleh Istana Pahang, dan tiada individu yang terlibat, termasuk Datuk Nizar, ditahan.
“Jika titah ini palsu, mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang mendakwa ia wujud, termasuk individu seperti Tengku Zafrul, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Wan Rosdy? Semua bukti menunjukkan titah itu benar. Jadi apa lagi yang perlu ditunggu?” ujar beliau.
Syed Rosli turut mencadangkan agar AG menghadap Sultan Pahang untuk mengesahkan kewujudan titah tersebut tanpa perlu melalui proses mahkamah yang melengahkan. “Proses ini tidak perlu dirumitkan. Pergilah menghadap Tuanku Sultan Pahang untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa kelewatan dalam menyelesaikan isu ini boleh memberi kesan besar kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang (PRU16).
“Kezaliman terhadap Datuk Seri Najib akan menyebabkan ramai ahli dan penyokong UMNO kecewa. Ini hanya akan melemahkan lagi parti,” tegasnya.
Syed Rosli menekankan bahawa jika tiada tindakan segera, beliau bimbang kredibiliti kepimpinan UMNO akan terjejas. “Pemimpin UMNO perlu bertindak dengan bijak demi memastikan keadilan tertegak dan rakyat tidak terus dikelirukan,” tambahnya.
Beliau menyeru agar Datuk Seri Najib segera diletakkan di bawah tahanan rumah sebagai langkah penyelesaian sementara, berdasarkan kepercayaan bahawa titah addendum tersebut sah dan wujud.