Kuala Lumpur, 2 Januari 2025 – Keputusan mahkamah mengenai permohonan addendum tahanan rumah untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 6 Januari ini dijangka mencetuskan gelombang besar di kalangan penyokongnya. Tokoh UMNO dari bahagian Pagoh, Zaaba Aman, menyatakan keyakinannya bahawa keputusan tersebut bakal menjadi penentu penting dalam landskap politik negara.
Menurut Zaaba, UMNO telah menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk memberikan sokongan padu kepada Datuk Sri Najib. Malah, beberapa parti lain seperti PAS turut dijangka menyertai usaha tersebut. “Lebih 20,000 penyokong diramal hadir pada hari keputusan itu, dengan ratusan bas disediakan untuk mengangkut mereka ke lokasi,” kata Zaaba ketika ditemubual wartawan AATV.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa situasi ini masih berada dalam “zon kelabu” kerana keputusan mahkamah sukar diramal. Katanya, mahkamah perlu memberikan keputusan yang jelas dan telus, sama ada memutuskan untuk membatalkan addendum tahanan rumah atau menyerahkan isu ini kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke 17, Sultan Ibrahim.
Zaaba turut mengingatkan bahawa sebarang keputusan yang tidak memihak kepada Najib harus disertakan dengan alasan kukuh. “Jika keputusan tidak menyebelahi Najib, mahkamah mesti menetapkan bila dan bagaimana pengampunan beliau akan dipertimbangkan,” tambahnya. Kegagalan untuk berbuat demikian, menurut Zaaba, boleh mencetuskan ketegangan yang menjejaskan kestabilan negara.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru para penyokong agar bersikap rasional dan bertenang pada hari tersebut. “Keputusan yang diambil mahkamah mestilah diterima dengan penuh kebijaksanaan, tanpa menimbulkan kekacauan,” katanya, sambil menegaskan kepentingan suasana harmoni dalam kalangan rakyat.
Zaaba juga menekankan bahawa isu ini bukan hanya tentang Najib, tetapi juga tentang kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara. “Rakyat ingin tahu sama ada addendum tahanan rumah itu benar-benar wujud dan mengapa Najib masih belum dibebaskan jika ia wujud. Ketelusan adalah kunci kepada kestabilan negara,” ujarnya.
Keputusan yang bakal diumumkan pada 6 Januari nanti dianggap genting dan kritikal, bukan sahaja untuk Datuk Seri Najib tetapi juga untuk kelangsungan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan institusi kehakiman.
Sebarang ketidaktelusan dalam keputusan ini, menurut Zaaba, boleh menjejaskan keharmonian negara serta mencipta ketidakstabilan politik yang berpanjangan. Beliau berharap mahkamah akan membuat keputusan yang adil demi masa depan negara.