BANGI, 1 Januatri 2025, Ketua UMNO Bahagian Bangi, Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain, menyuarakan hasrat agar isu yang melibatkan “Bossku” dapat diselesaikan menjelang tahun 2025. Dalam ucapannya sempena sambutan Tahun Baru 2025 di Bangi malam tadi, beliau menyeru ahli-ahli UMNO untuk terus bersatu dalam menyokong figura politik penting tersebut.
Dato’ Dr. Mohd Zaidi merangkap Ketua Penerangan UMNO Selangor menegaskan bahawa isu ini tidak boleh berlarutan sehingga ke tahun-tahun mendatang, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16. “Kita sudah tahu akibatnya jika isu ini tidak diselesaikan. Perbicaraan yang sedang berlangsung juga menimbulkan banyak persoalan dan keraguan,” ujarnya.
Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan “Bossku” dalam menentukan kejayaan parti pada pilihan raya akan datang. “Bosku adalah figura yang tidak boleh diketepikan dalam soal menang atau kalah parti. Sokongan kita kepada beliau perlu berterusan,” katanya.
Tambah beliau, meskipun jasad “Bossku” kini berada di Penjara Kajang, semangat perjuangan beliau tidak pernah luntur. “Jiwa beliau tidak terpenjara. Kita sebagai ahli UMNO harus memastikan bahawa roh perjuangan kita sampai kepada beliau,” ujar Dato’ Dr. Mohd Zaidi.
Beliau turut menyeru ahli UMNO Bahagian Bangi untuk kekal bersatu dalam memberikan sokongan moral kepada “Bossku”. Menurutnya, sokongan ini bukan sahaja tanda solidariti tetapi juga merupakan langkah strategik untuk memastikan kestabilan dan kekuatan parti.
“Misi kita jelas, perjuangan ini akan diteruskan sehingga ‘Bossku’ dibebaskan. Bahagian Bangi akan sentiasa menjadi tulang belakang kepada beliau,” katanya lagi.
Dato’ Dr. Mohd Zaidi mengakhiri ucapannya dengan menyatakan keyakinan bahawa isu ini perlu ditangani dengan segera bagi memastikan fokus parti tidak terganggu dan mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda agama, bangsa, dan negara.