AMPANG, 7 Januari 2025 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail, mengecam kelemahan kerajaan dalam menangani isu berkaitan Titah Addendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Beliau menyifatkan ketiadaan perbincangan mengenai isu itu di peringkat Kabinet sebagai suatu kecuaian serius yang mencerminkan kelemahan sistem pentadbiran negara.
Menurut Syed Rosli, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Pahang memfailkan afidavit di mahkamah untuk mengesahkan keberadaan Titah Addendum adalah bukti nyata kegagalan pihak eksekutif. “Adalah mengecewakan perkara sepenting ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh Kabinet,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh mengenai pengeluaran surat rasmi dari Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan Titah Addendum oleh Tuanku Sultan Abdullah. Tindakan luar biasa ini, katanya, mencerminkan wujudnya elemen sabotaj atau pengabaian terhadap titah baginda. “Ia mencemarkan nama baik institusi diraja serta menunjukkan kelemahan dalam sistem pentadbiran kerajaan,” tambah Syed Rosli.
Lebih mengejutkan, beliau menuduh terdapat individu yang sengaja menyembunyikan Titah Addendum tersebut daripada pengetahuan pihak berkepentingan. Perbuatan ini, katanya, bukan sahaja menderhaka kepada YDPA sebagai Ketua Utama Negara tetapi juga boleh dianggap sebagai jenayah serius. “Tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang bersalah untuk memastikan integriti pentadbiran negara terus terpelihara,” katanya lagi.
Syed Rosli menggesa agar siasatan segera dan telus dijalankan untuk mengenal pasti dalang di sebalik skandal ini. Beliau menekankan bahawa institusi diraja adalah simbol perpaduan dan kestabilan negara, dan setiap titah YDPA perlu dihormati dan dipatuhi sepenuhnya.
“Ketaatan kepada YDPA bukan sekadar tanggungjawab undang-undang, tetapi juga kewajipan moral bagi setiap rakyat Malaysia, khususnya mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.