KUALA LUMPUR – Terus cakna dengan kesihatan penduduk di kawasannya, Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan MyPrihatin, dengan kerjasama beberapa agensi utama, telah menganjurkan Karnival Kesihatan MADANI yang bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025.
Karnival ini diadakan untuk memberikan peluang kepada masyarakat setempat, khususnya warga Parlimen Bandar Tun Razak, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Pelbagai kaunter kesihatan disediakan pada karnival ini, antaranya pemeriksaan untuk penyakit tidak berjangkit (NCD), pemeriksaan jantung, kanser serviks, mammogram, serta pemeriksaan gigi dan rehabilitasi.
Kaunter menderma darah juga dibuka bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada keperluan darah yang kritikal.
Disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan Bakul Ihsan MADANI kepada 700 penerima yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.
“Penyakit tidak berjangkit atau NCD memberikan impak yang sangat besar kepada kesihatan jangka panjang.
“Namun, dengan saringan awal, kita mampu mengesan masalah ini lebih cepat dan mengambil langkah pencegahan yang boleh mengurangkan kos rawatan serta komplikasi yang lebih serius,” kata Wan Azizah dalam ucapannya.
Kanser serviks, yang disambut dalam bulan Januari sebagai bulan kesedaran, juga mendapat perhatian di karnival ini.
Tujuan sambutan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan serviks serta memberikan sokongan kepada pesakit dan survivor kanser serviks.
Penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes, dan penyakit pernafasan kronik terus menjadi masalah utama di Malaysia, dengan lebih 50 peratus rakyat dewasa mengalami masalah obesiti.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan hampir 40 peratus penduduk dewasa menghidap kolesterol tinggi, 30 peratus mengalami hipertensi, dan 18.3 peratus menghidap diabetes.
Karnival ini juga turut dihadiri oleh beberapa tokoh terkemuka termasuk Datuk Dr. Halimaton Hamdan, Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Dato’ Seri Dr Aishah Ong, Pengerusi IJN Foundation, serta beberapa pemimpin penting lain.
Mereka memberi sokongan penuh terhadap inisiatif kesihatan ini demi kesejahteraan rakyat.
Karnival Kesihatan MADANI ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan, tetapi juga untuk menyatukan komuniti dalam usaha menjaga kesihatan dan kesejahteraan bersama.