KUALA LUMPUR, 25 Januari 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membantu ahli-ahli sebuah koperasi yang mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas koperasi tersebut gagal membayar dividen dan keuntungan yang dijanjikan.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa pihaknya menerima pelbagai aduan daripada ahli-ahli koperasi tersebut. Mereka mendakwa telah melabur puluhan ribu ringgit setiap seorang dengan janji dividen setinggi 18% setahun melalui skim pembelian syer koperasi tersebut.

“Sebahagian besar daripada jumlah wang ahli-ahli digunakan untuk yuran keahlian, modal syer, dan simpanan khas. Namun, sehingga kini koperasi itu gagal menunaikan janji pembayaran dividen seperti yang dipersetujui,” katanya.

Selain itu, koperasi tersebut turut menawarkan skim tempahan emas 916 melalui anak syarikatnya dengan janji keuntungan 1-3% sebulan. Namun, ahli-ahli mendakwa skim itu juga menemui kegagalan apabila pembayaran keuntungan tidak dibuat. Sebaliknya, pihak syarikat memberikan alasan yang dianggap tidak munasabah.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila koperasi menawarkan penyelesaian kepada ahli-ahli untuk berhenti keahlian dan membatalkan tempahan emas dengan janji pemulangan wang dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Malangnya, janji tersebut sekali lagi dimungkiri apabila tiada pembayaran balik dibuat walaupun tempoh tersebut telah berakhir.

“Ahli-ahli sangat kecewa dan hilang kepercayaan. Mereka kerugian puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit setiap seorang tanpa sebarang pulangan modal. Bahkan, masih tidak jelas ke mana wang mereka telah digunakan dan sama ada tempahan emas yang dijanjikan itu benar-benar wujud,” tambah Dato’ Hishamuddin.

Sehubungan itu, MHO bertekad untuk membantu ahli-ahli terbabit mendapatkan keadilan melalui siasatan yang menyeluruh dan tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab. Pihak MHO turut menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis pelaburan yang tidak jelas.

MHO yang ditubuhkan sejak 2016 komited dalam memperjuangkan hak asasi manusia melalui bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman. Kes ini merupakan salah satu usaha mereka untuk melindungi hak-hak masyarakat yang menjadi mangsa penipuan.

Leave a Reply