KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AG) mengambil tindakan tegas terhadap dalang skim pelaburan “ala hutang” yang disyaki menipu 87 mangsa dengan kerugian mencecah RM47.3 juta.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, aduan diterima menunjukkan mangsa terperangkap sejak 2020, namun tiada tindakan konkrit diambil walaupun laporan polis telah difailkan. Beliau menekankan kebimbangan mangsa apabila beberapa kes dilabel “DNAA” (Discharge Not Amounting to Acquittal) akibat pengeluaran laporan oleh mangsa lain.

“Para mangsa bimbang status siasatan mereka dikaitkan dengan kes DNAA, sedangkan tiada penyelesaian adil diberikan,” katanya dalam sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hari ini.

MHO mendesak PDRM bekerjasama dengan AG untuk menyiasat telus dan mendakwa syarikat terlibat di bawah Kanun Keseksaan. Mangsa mendakwa skim ini tidak wujud dan mereka diperdaya dengan janji pulangan tinggi.

“Kami mahu semua pihak bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah. Mangsa sudah terlalu lama menunggu keadilan,” tegas Hishamuddin.

Laporan polis awal mangsa dikhuatiri “dirujuk” (ROR) kepada kes DNAA sedia ada, menyukarkan proses tindakan undang-undang. MHO turut memohon agensi penguatkuasaan memantau aktiviti pelaburan mencurigakan bagi mengelak lebih banyak mangsa terpedaya.

“Kes ini perlu jadi contoh agar penjenayah kewangan tidak berleluasa,” tambahnya.

MHO akan terus memantau perkembangan siasatan dan memberi bantuan guaman kepada mangsa. Mangsa yang mempunyai maklumat baru digesa tampil membuat laporan tambahan.

Leave a Reply