KUALA LUMPUR , 20 April 2025 – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, menyatakan rasa terharu dengan sambutan rumah terbuka Aidilfitri Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memberi keutamaan kepada golongan kurang mampu seperti penggali kubur dan anak yatim. Beliau mengucapkan penghargaan kepada pengurusan AIM, termasuk Pengerusi Datuk Seri Syed dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Syamir Abdul Aziz, atas usaha murni ini.

“Setiap kali saya hadir ke rumah terbuka AIM, saya sangat tersentuh kerana golongan yang memerlukan dijemput dan diberi perhatian istimewa,” ujar Ramanan. Beliau turut menekankan pentingnya masyarakat mengambil peluang bantuan yang disediakan oleh AIM, terutamanya dalam program pembiayaan usahawan.

Ramanan memuji AIM kerana sentiasa membuka peluang kepada yang layak, termasuk memperkenalkan program khusus seperti PENN untuk komuniti wanita India. “Walaupun ada cabaran, AIM tidak pernah menolak permintaan yang munasabah,” katanya. Beliau juga membanggakan rekod AIM yang hanya mencatatkan 0.02% pembiayaan tidak berbayar (NPL), satu pencapaian yang dikagumi pemimpin luar negara.

Namun, Ramanan berasa sedih kerana masih ada peruntukan AIM yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya. “Peluang ini wujud, tetapi jika tidak diambil, bagaimana AIM boleh membantu?” tanya beliau sambil menyeru masyarakat tampil mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz, mengumumkan peruntukan RM2.6 bilion disediakan untuk tahun ini, dengan tambahan RM100 juta yang baru diluluskan Perdana Menteri. Beliau berterima kasih atas sokongan kerajaan dan berharap lebih ramai usahawan dapat manfaatkan peluang ini.

Leave a Reply