KUALA LUMPUR, 11 Mei 2025 – UMNO hari ini menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-79, memperkukuh kedudukannya sebagai antara parti politik tertua dan paling berpengaruh di Malaysia.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segambut, Nur Atiqah Najihah, menyifatkan ulang tahun ke-79 ini sebagai bukti jelas bahawa UMNO kekal relevan dalam landskap politik negara walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan.
“Alhamdulillah, 79 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Ia sangat lama, dan daripada situ kita boleh lihat bahawa UMNO masih kekal relevan. Walaupun terdapat banyak fitnah terhadap parti kita, UMNO terus teguh memperjuangkan asas perjuangannya,” katanya.
Menurut beliau, segala dasar dan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan tertinggi parti masih berpaksikan kepada prinsip utama UMNO sejak penubuhannya – iaitu memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu, memartabatkan agama Islam, serta mempertahankan kedaulatan tanah air.
Beliau turut menyeru agar ahli UMNO khususnya golongan muda terus memperkukuhkan semangat perjuangan dan tidak mudah goyah dengan dakyah pihak lawan.
Ulang tahun ke-79 ini dilihat sebagai satu detik penting bagi UMNO untuk terus bangkit memperkukuh kekuatan akar umbi serta memperbaharui komitmen dalam menghadapi cabaran semasa politik negara.
#UMNO79 #UMNORelevan #PuteriUMNO #PerjuanganMelayu #UMNOUntukIslam #KekuatanUMNO #BangkitUMNO #UMNO2025 #UMNOTeguh #UMNOMalaysia