Oplus_16908288

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2025 – Parti keramat orang Melayu, UMNO, hari ini menyambut ulangtahunnya yang ke-79 dalam suasana penuh makna dan kesedaran sejarah. Bertepatan dengan berlangsungnya Mesyuarat Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO seluruh negara, sambutan tahun ini menjadi momen refleksi terhadap jatuh bangun perjuangan parti.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Hasnal Rezua Merican, dalam satu kenyataan mengajak ahli parti agar menghayati perjalanan panjang UMNO sejak penubuhannya pada 1946. Katanya, perjuangan UMNO sebagai parti eksklusif Melayu hanya berlaku selama lima tahun pertama sahaja, sebelum mula membentuk kerjasama politik bersama kaum lain demi mencapai kemerdekaan negara.

“UMNO tidak pernah gentar untuk bergabung dengan bekas lawan politik dalam usaha memperkukuh kestabilan negara. Daripada Parti Perikatan sehinggalah Barisan Nasional, UMNO kekal menjadi tonggak kepada agenda perpaduan nasional,” ujar beliau.

Menelusuri sejarah selepas Tragedi 13 Mei 1969, Hasnal mengingatkan bahawa pimpinan seperti Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail membuka lembaran baharu politik inklusif dengan menyatukan pelbagai parti etnik dan bekas lawan menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional.

“Pejuang sejati UMNO tidak mudah terpedaya dengan naratif yang memesongkan sejarah. Kita tidak perlu defensif bila dituduh menyimpang daripada perjuangan Melayu dan Islam. Hakikatnya, UMNO-lah pemilik asal naratif itu,” tegas Hasnal.

Beliau juga menekankan bahawa UMNO telah dan akan terus mendokong agenda Melayu dan Islam walaupun sering dikelilingi oleh tekanan pelbagai arah. Dalam ucapannya, beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar kekal istiqamah, bersatu dan tidak gentar mendepani cabaran masa hadapan.

“Selamat Hari Ulangtahun ke-79 buat parti terulung negara, UMNO, dan Selamat Berjuang kepada para Pejuang Sejati UMNO,” katanya mengakhiri kenyataan.

#UMNO79 #PejuangSejatiUMNO #HayatiSejarahUMNO #AgendaMelayuIslam #UMNOKekalTeguh #BarisanPerjuangan #UMNOSelangor #Semangat1946 #UMNOUntukSemua #UlangtahunUMNO79

Leave a Reply