KUALA LUMPUR, 11 Mei 2025 —
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, YB Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, mengulas isu penerimaan semula bekas ahli UMNO yang digelar ‘pengkhianat’, dengan menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan tertinggi parti.
Kenyataan itu dibuat susulan doa dan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menyentuh soal pengkhianat parti.
“Jadi, soal penerimaan dan kembalinya pengkhianat parti atau tidak, itu kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk memperhalusi dan mempertimbangkan rayuan mereka,” ujar Zaidy ketika ditemubual Media AATV.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama parti kini adalah memperkukuh dalaman parti untuk menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kita kena kuatkan parti dari dalam. Hari ini, rakyat semakin bijak dan celik maklumat melalui media sosial. UMNO perlu guna platform ini sebaik mungkin untuk memberi penjelasan dan pencerahan,” katanya lagi.
Zaidy turut menyuarakan sokongan terhadap usaha memperkasa pelapis pemimpin muda UMNO, yang disifatkannya sebagai aset penting untuk kelangsungan parti.
“Inilah masanya kita beri ruang kepada pemimpin muda untuk ke hadapan dan memimpin UMNO di masa depan. Insya-Allah, mereka mampu membawa pembaharuan yang diperlukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai penerimaan semula mana-mana individu haruslah melalui pertimbangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
#UMNO2025 #PRU16 #ZaidyJeramPadang #PolitikMalaysia #PemimpinMuda #UMNOBangkit #SuaraAkarUmbi #MediaSosialPolitik #KebangkitanUMNO #ZahidHamidi