KUALA LUMPUR, 11 Mei 2025 – Suasana di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur hari ini menjadi saksi kepada detik penuh bermakna buat UMNO apabila tiga acara utama disambut serentak – ulang tahun ke-79 penubuhannya, Hari Ibu serta konvokesyen pertama Sekolah Patriotik UMNO.
Dr. Norman Sapar, Ketua Cawangan UMNO Presint Jasa, Taman Mutiara Rini berkata, sambutan ini memperlihatkan nilai sejarah dan perjuangan yang terus hidup dalam UMNO, terutamanya pengorbanan wanita sejak awal penubuhannya.
“UMNO lahir daripada pengorbanan seorang ibu. Dahulu, wanita-wanita UMNO sanggup menggadai barang kemas demi perjuangan agama, bangsa dan negara,” ujar beliau.
Seramai 48 daripada 50 pelajar Kumpulan Pertama Sekolah Patriotik UMNO berjaya menamatkan pengajian mereka, sekaligus menerima pengiktirafan sebagai kumpulan “Patriot Pertama”.
Dalam ucapan Presiden UMNO menekankan keperluan memperkukuh kekuatan dalaman parti, terutama selepas mengalami kekalahan dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini akibat perpecahan dalaman serta agenda pihak tertentu.
Menurut Dr. Norman, Presiden turut menasihatkan ahli parti agar mengelakkan pertelagahan dan fitnah yang boleh memburukkan imej parti di mata rakyat.
“UMNO perlu menjadi parti pragmatik dan mendepani cabaran generasi baharu yang semakin terbuka, bukan sekadar bersandar kepada struktur lama yang sudah berubah,” katanya lagi.
Presiden juga menggesa agar UMNO beralih daripada politik retorik kepada politik solusi – menumpukan kepada isu-isu rakyat dan menyelesaikannya secara berkesan.
“Rakyat sudah muak dengan retorik dan propaganda. Mereka mahukan penyelesaian, bukan janji kosong,” tambah beliau.
Dr. Norman menyimpulkan bahawa tiga intipati utama ucapan Presiden ialah:
Memperkukuh kekuatan dalaman parti.
Menyedari dan memahami dinamika politik semasa.
Mengamalkan politik solusi demi masa depan parti dan negara.
#UMNO79 #HariIbu2025 #SekolahPatriotik #PolitikSolusi #UMNOBangkit #GenerasiPatriot #KonvokesyenUMNO #KekuatanDalaman #UMNOPrihatin #PerjuanganBerterusan